SANDAKAN – Seorang lelaki maut apabila kereta yang dipandunya hilang
kawalan sebelum terbabas dan melanggar sebatang pokok di Kilometer 9
Jalan Utara dekat sini, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Rowell Marong berkata dalam kejadian
kira-kira 3.20 pagi itu, mangsa Muhd Hanif Rahban, 25, sedang memandu
dari Bandar Sandakan.
Katanya mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu dikeluarkan
anggota bomba dan dihantar ke Hospital Duchess of Kent Sandakan.
Mangsa meninggal dunia di hospital pada pukul 12.45 tengah hari
akibat kecederaan parah di seluruh anggota badan, katanya di sini hari
ini.
Saksi kejadian diminta membantu siasatan polis dengan menghubungi
Pegawai Penyiasat Inspektor Zabir Aripin di talian 089212222 sambungan
254. – BERNAMA
No comments
Post a Comment