Hulu Selangor – Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun maut
selepas digilis kereta PROTON Exora dipandu datuknya yang sedang
mengundur dalam kejadian di Taman Lembah Damai, Kerling.
Difahamkan, dalam kejadian jam 9.40 malam kelmarin itu, mangsa, M
Sharvina berada di pekarangan rumah datuknya itu bersama ahli keluarga
lain dan tanpa disedari mangsa berlari keluar rumah untuk mengikuti
datuknya yang hendak mengundurkan kereta.
Ibu mangsa yang mahu dikenali sebagai Priya, 28, berkata, dia masih
tidak dapat melupakan detik menemui anaknya itu yang juga anak perempuan
tunggal daripada empat beradik terperosok bawah tayar hadapan sebelah
kiri kereta PROTON Exora yang dipandu bapanya.
Beliau berkata, bapanya mengundurkan kereta yang diletakkan di
hadapan rumah untuk menghantar mereka sekeluarga balik ke rumah yang
terletak kira-kira 50 meter dari rumah bapanya itu.
“Ketika itu, saya berada di dalam rumah bersama anak yang
lain, manakala bapa saya pula keluar untuk mengeluarkan kereta dan tanpa
diduga Sharvina turut keluar mengikut datuknya itu tanpa disedari.
“Saya terkejut mendengar jeritan bapa yang menyatakan anak
saya berada di bawah tayar dan saya seperti berada di awangan selepas
menemui anak saya itu dalam keadaan begitu,” katanya.
Beliau berkata, dia bersama kakak yang tinggal di rumah bersebelahan
rumah ibunya membawa mangsa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk menerima
rawatan kecemasan bagaimanapun, anaknya sudah tidak bernyawa lagi.
“Anak saya seorang yang manja, malah sangat rapat dengan semua
keluarga termasuk datuknya. Kami sekeluarga tidak sangka dia
meninggalkan kami dalam keadaan begini,” katanya.
Difahamkan, ketika kejadian bapa mangsa yang bekerja sebagai pemandu
lori tiada di rumah kerana bekerja di Ipoh dan anak-anak mereka diasuh
datuk dan nenek mereka di rumah itu.
“Bapa saya juga masih panik dengan kejadian ini,” katanya.
Mayat mangsa dibawa ke Tanah Perkuburan Hindu Kerling, Lembah
Beringin dengan menggunakan kereta PROTON Exora yang sama kira-kira jam 2
petang semalam.
Sementara itu, jurucakap polis berkata, mangsa maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala. – Harian Metro
No comments
Post a Comment