KENINGAU – Seorang kanak-kanak perempuan warga Filipina yang bekerja sebagai kedi di sebuah padang golf di sini maut apabila terkena bola golf yang terpesong ke arahnya sewaktu menjalankan tugas.
Ketua Polis Daerah Deputi Superintenden Robert Salisip @David
berkata, mangsa yang berumur 12 tahun dikenali sebagai Alminda Jalimin
itu tidak memiliki dokumen dan beralamat di rumah kongsi berhampiran
Taman MDK di sini.
Mengesahkan kejadian itu, beliau berkata mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira sehari selepas kejadian itu.
“Kejadian itu berlaku pada 31 Januari kira-kira jam 2.40 petang di
padang golf itu sewaktu mangsa sedang bertugas menarik beg salah seorang
pemain golf pada lubang ke-12.
“Dalam kejadian itu, salah seorang daripada pemain golf yang bermain
pada hari itu memukul bola dalam jarak lima hingga enam meter dari
kawasan di mana mangsa berdiri.
“Tanpa disangka-sangka, bola yang dipukul tadi melencong lalu terkena
pada mangsa di tengkuk kanan, mengakibatkan mangsa rebah serta merta
dan tidak sedarkan diri,” katanya.
Robert berkata, mangsa kemudiannya dikejarkan ke unit Kecemasan Hospital
Keningau oleh orang awam dan doktor memberikannya rawatan sebagai
pesakit luar, di mana kira-kira jam 11.30 malam, mangsa dibawa balik ke
rumah oleh bapa dan ibunya.
Menurutnya, pada masa itu mangsa dilaporkan sebagai tidak
mampu berjalan sendiri, dan bapanya terpaksa mendukungnya untuk dibawa
balik ke rumah kongsi di mana mereka tinggal.
“Pada awalnya, mangsa dikatakan boleh bercakap dan
menceritakan pengalamannya itu, namun selepas itu dia mengadu sakit
kepala dan muntah-muntah. Keadaannya bertambah serius dan mangsa meninggal pada 1 Februari pada jam 5 pagi,” katanya.
Robert berkata, mangsa yang tidak pernah menghidap sebarang
penyakit lain, bekerja sebagai seorang kedi di Kelab Golf Keningau sejak
umurnya 10 tahun lagi bagi membantu mendapatkan sumber rezeki bagi diri
dan keluarganya.
No comments
Post a Comment