Bishkek: Pegawai Islam tertinggi Kyrgyzstan semalam dilaporkan
terpaksa meletak jawatan selepas klip video memaparkan imej seperti
dirinya mengadakan hubungan seks terbesar kepada umum.
Berita itu turut mendorong kira-kira 60 orang berkumpul di luar
pejabat Mufti Besar Kyrgyzstan, Rakhmatullah Hajji Egemberdiyev bagi
mendesaknya memberi penjelasan terhadap dakwaan berkenaan.
Mereka turut melaungkan kemarahan bagi mendesak Egemberdiyev meletak jawatan. Sebelum ini mufti terbabit berkata, dia mengakui lelaki dalam klip video itu adalah dirinya yang sedang berasmara dengan isteri kedua.
Ketika ini Kyrgyzstan mengharamkan amalan poligami walaupun umum
percayai golongan kaya dan bangsawan sebenarnya mempunyai lebih daripada
seorang isteri. Beberapa percubaan pernah dibuat untuk menghalalkan
poligami di negara berkenaan tetapi belum berjaya. Bekas Presiden
Kyrgyzstan, Kurmanbek Bakiyev - yang disingkirkan daripada kuasa pada
2010 juga berpoligami. Klip video itu mula tersebar di YouTube pada 1
Januari lalu dan mencetuskan kemarahan ramai.
Penduduk setempat berkata, Egemberdiyev mesti melepaskan jawatannya kerana “tidak mempunyai nilai moral” lagi untuk menjadi mufti. Klip berkenaan sudah dipadamkan dari YouTube. Egemberdiyev berkata, penyebaran klip video itu mungkin mempunyai motif politik dan didalangi pegawai kanan suruhanjaya agama di Kyrgyztan, Abdulatif Zhumabayev.
“Abdulatif berniat menggantikan saya dengan tokoh lain yang sehaluan dengannya serta menguasai agensi pengurusan haji yang membuat pungutan tinggi setiap tahun,” katanya.
Sementara itu sumber berkata Egemberdiyev turut disiasat kerana
disyaki cuba mengelak cukai serta mengambil rasuah ketika menguruskan
sistem kuota haji. Egemberdiyev menjadi mufti Kyrgyztan pada 2012 dan
tokoh keenam disingkirkan dari jawatan berkenaan dalam tempoh empat
tahun. Jawatan itu diisi melalui pilihan raya.
Sementara menunggu pemilihan baru pada 8 Februari ini jawatan berkenaan dipangku timbalan Egemberdiyev, Maksat Toktomushev. - Agensi
No comments
Post a Comment