Bintang pop ternama Justin Bieber melancarkan serangan ‘nakal’ ke kediaman jirannya minggu lalu dengan melemparkan telur ke arah rumah berkenaan.
Sebuah laman sesawang gosip hiburan mendakwa insiden itu turut mendapat perhatian polis Los Angeles yang dihubungi ke tempat kejadian.
Polis berkata, jiran penyanyi itu terdengar sesuatu dilemparkan ke kediamannya di Calabasas kira-kira jam 7.30 malam pada Khamis.
Apabila jiran terbabit keluar ke balkoni tingkat dua untuk meninjau, dia melihat Bieber berada di tingkat bawah kediamannya sedang melontar telur ke arah pintu depan rumahnya.
Sambil menyiarkan beberapa foto menunjukkan telur yang dilempar ke kediaman itu, laman sesawang berkenaan melaporkan turut berlaku perang mulut antara Bieber dan jirannya itu.
Jirannya yang berang mempersoal tindakan penyanyi yang menjadi kegilaan remaja itu dan bertanya apa yang dia sudah lakukan.
Polis memberitahu, Bieber melontar sekurang-kurangnya 20 biji telur ke arah kediaman itu.
Tidak diketahui sama ada pihak berkuasa merekod kenyataan daripada Bieber.
Kejadian itu adalah kisah terbaru yang menggemparkan kejiranan mewah di Calabasas yang terletak kawasan bukit di Lembah San Fernando, barat California.
Penyanyi berusia 19 tahun itu dilaporkan sering membuat jiran tetangganya berang dengan pelbagai kerenah seperti membuat bising, berparti dan memandu secara berbahaya.
Mac tahun lalu dia dikatakan meludah ke arah muka jirannya selepas ditegur kerana memandu kereta Ferrari miliknya secara membabi-buta di kawasan kejiranan itu. Jabatan Polis Los Angeles dilaporkan akan menyiasat insiden itu yang turut menyatakan Bieber mengancam jiran terbabit dengan kata-kata: “Saya akan bunuh kamu”.
Pada November, polis mengunjungi kediaman penyanyi itu sebanyak tiga kali pada waktu malam ketika dia mengadakan parti secara besar-besaran.
No comments
Post a Comment