Klang: “Pada mulanya saya pelik kenapa kabus kelihatan seakan kehitam-hitaman, tetapi sebaik tiba di hadapan kedai, saya terkejut melihat asap tebal berserta api tengah marak,” kata David, 45, yang menyaksikan kebakaran kedai dua tingkat yang menjual peralatan sembahyang Cina serta bengkel servis kereta dan tayar di Taman Chi Liung, Pandamaran Jaya, di sini, pagi semalam.
Dalam kejadian jam 3 pagi itu, David yang bekerja sebagai pemandu teksi melalui kawasan berkenaan selepas menghantar penumpang di taman berdekatan dan berasa pelik selepas melihat kawasan berkenaan berkabus hitam dari jarak kira-kira 100 meter sebelum melihat asap dan api sedang marak.
“Saya lihat orang ramai yang berada di situ cuba memadam api, tetapi api marak dengan cepat beserta asap hitam menyebabkan mereka menjauhkan diri kerana bimbang keselamatan diri.
“Walaupun berada di seberang jalan, bahang api tetap terasa dan kepantasan pihak bomba yang mengambil masa tidak lama untuk tiba di lokasi kejadian berjaya mengawal api daripada terus merebak ke kawasan sekitar,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Yusri Yusoff berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 3.11 pagi, tiga jentera masing-masing dari BBP Pelabuhan Klang, BBP Andalas dan BBP Kota Raja dikejarkan ke tempat kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi lapan minit kemudian, 50 peratus kawasan kedai berkenaan sudah musnah sebelum anggota bomba mengawal api daripada terus merebak dan memusnahkan lapan unit rumah berdekatanm,” katanya.
“Memandangkan ia kebakaran kedai tayar dan menjual peralatan sembahyang Cina, api mudah merebak dan operasi memadam mengalami sedikit kesukaran. Bagaimanapun, api dapat dikawal sepenuh jam 3.50 pagi,” katanya.
Mohd Yusri berkata, kepantasan anggota bomba memadam api dapat menyelamatkan sejumlah besar peralatan sembahyang di kedai terbabit yang akan dijual sempena sambutan Tahun Baru Cina nanti.
Menurutnya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan pasukan forensik bomba sudah dihantar ke tempat kejadian untuk menyiasat punca sebenar kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
No comments
Post a Comment