Select Menu

Isu Semasa

Hiburan

Global

Pelancongan

Performance

Pelbagai

Misteri Sejarah

Informasi

» » Rosmah Nafi Guna Jet Kerajaan Sejak Sebelum Najib Jadi PM
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post


DATIN Seri Rosmah Mansor mempertahankan dirinya yang menggunakan jet eksekutif kerajaan ke Qatar dan berkata ia adalah untuk urusan kerja dan mengikut segala prosedur ditetapkan.
Isteri kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu berkata, beliau yang kesal dengan situasi itu tampil menghuraikan satu persatu jadual perjalanan beliau ke empat negara iaitu Qatar, Dubai, Sri Lanka, dan Bangladesh.
Katanya, selain diberikan penghormatan untuk menyampaikan ucaptama bertajuk 'Kuasa Wanita Malaysia', Rosmah juga dikurniakan anugerah oleh kerajaan Qatar.

Rosmah berkata, rakyat perlu berbangga apabila dunia antarabangsa begitu memandang tinggi kepada Malaysia.
"Dalam ucaptama itu saya berkongsi tentang kejayaan wanita Malaysia yang menjadi kebanggaan kita semua. Tidak sangka pula dalam kita berbangga dengan khalayak antarabangsa tentang negara kita rupanya ada pihak yang tidak berpuas hati.
"Masyarakat antarabangsa bersungguh-sungguh memberi penghormatan kepada Malaysia tetapi rakyat kita sentiasa memandang negatif apa yang saya buat," katanya dipetik daripada wawancara eksklusif bersama portal Malaysia Gazzete.
Menjawab soalan mengapa beliau tidak menggunakan pesawat penerbangan tempatan MAS, Rosmah berkata, ia amat sukar dilakukan kerana jadual lawatannya yang padat dan pesawat komersial tidak dapat memenuhi semua laluannya itu mengikut masa ditetapkan.
Selain itu, katanya, penggunaan jet rasmi kerajaan tidak pernah timbul sebelum ini kerana setiap apa yang beliau lakukan mesti dirujuk kepada Kabinet untuk mendapatkan kelulusan.
Katanya, kelulusan penggunaan jet oleh Kabinet, mengambil kira pelbagai faktor terutama keselamatan dan masa.
"Kita bergerak mengikut jadual, apatah lagi sesuatu program itu disediakan oleh tuan rumah, kita mesti menepati masa," katanya sambil memberitahu kemudahan jet kerajaan sudah digunakannya sejak sebelum Najib menjadi Perdana Menteri.
"Sekiranya saya menggunakan pesawat komersial banyak yang menawarkan laluan sehala misalnya hanya terdapat satu penerbangan dari Kuala Lumpur ke Colombo, begitu juga Kuala Lumpur ke Dhaka seperti juga Dubai - Colombo dan Dubai ke Dhaka," katanya.
Rosmah turut dikritik apabila mengambil kesempatan melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Qatar, Sheikh Abdullah Nasser Khalifa Al-Thani.
Katanya, tidak ada salahnya sebagai tetamu mengunjungi Perdana Menteri bagi menghormati tuan rumah.
"Jika isteri Perdana Menteri negara-negara lain datang ke Malaysia, mereka akan melakukan perkara yang sama," katanya.
Pada masa sama, Rosmah menolak tuduhan yang beliau mengambil kesempatan menggunakan jet kerajaan untuk menonton pertunjukan fesyen dengan mempertahankan tindakannya itu sebagai memberi sokongan kerana acara tersebut dianjurkan rakyat Malaysia.
"Saya dijemput kerana kebetulan berada di Qatar atas urusan rasmi dan isteri Perdana Menteri Qatar menyatakan persetujuan untuk hadir pada majlis anjuran rakyat Malaysia di situ, salahkah saya sebagai isteri pemimpin negara yang kebetulan ada di situ dan dijemput ," katanya.
Beliau turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Sheikha Moza Nasser yang merupakan Pengerusi Yayasan Qatar.
Selain itu Rosmah turut melakukan kunjungan hormat ke atas isteri Perdana Menteri, Sheikha Alanoud .
Isteri Perdana Menteri itu kemudiannya terbang ke Dubai bagi memenuhi undangan Princess Haya.
Rosmah berkata, di Dubai berlangsung beberapa agenda termasuk membantu kerajaan di situ yang mahu melaksanakan program seperti Permata.
Satu majlis pertukaran dokumen memorandum persefahaman antara Permata Pintar yang dikendalikan UKM dan Alliance International Investment berlangsung ketika Rosmah berada di Dubai.
Dari Dubai, Rosmah berangkat ke Sri Lanka dan tiba di Colombo untuk menyertai Perdana Menteri menghadiri majlis perasmian CHOGM.
Antara lain kehadiran Rosmah ke Bangladesh juga untuk menghulurkan bantuan untuk merawat kanak-kanak yang mengalami masalah sumbing.
Rosmah juga membayangkan hubungan baik beliau dengan dunia antarabangsa memberi kelebihan kepada Malaysia.
Sebagai contoh apabila ketika Mesir sedang menghadapi krisis politik di negaranya, kira-kira 8,000 pelajar Malaysia di negara itu berjaya dibawa pulang apabila Rosmah menghubungi keluarga diraja Arab Saudi untuk mendarat di Jeddah.
Satu lagi kes membabitkan seorang pelajar Malaysia, Ibrahim Mohd Azmi hampir dipenjarakan di Rafah kerana disangkakan pengintip dapat dibebaskan hasil usaha Rosmah menggunakan hubungan baiknya dengan Mesir.
"Saya menghubungi Suzzane Mubarak memberitahu pelajar berkenaan akan menduduki peperiksaan, ibu bapanya bimbang dan pelbagai alasan lagi. Ketika itu fokus saya adalah untuk membebaskan pelajar berkenaan dan akhirnya dia dibebaskan dan dapat kembali meneruskan pengajian.
"Saya tidak mengharapkan orang akan berterima kasih atau bersyukur dengan usaha kecil saya itu tetapi tolong jangan asyik mencari salah orang lain, atau menjaga tepi kain orang lain. Jangan mengada-adakan cerita, berdosa besar. Saya tidak mengata orang, tidak memburukkan pembangkang," katanya.
Menyifatkan sumbangannya demi kesejahteraan negara, Rosmah berkata, isteri pemimpin dunia menggunakan jet kerajaan masing-masing adalah pemandangan biasa.
"Apa yang saya lakukan kerana Allah, yang lain-lain saya tak fikir. Biarlah mereka memfitnah, menuduh dan memburuk-burukkan saya," katanya.


-The Malaysian Insider

About Unknown

PERINGATAN: Blogbahni tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments