Seremban – Seorang wanita yang mati dibunuh dengan kejam sebelum mayatnya dicampak ke longkang di tepi jalan di Taman Seruling Jaya, Labu, di sini, kelmarin, dikenal pasti pemenang ratu cantik dan bekerja sebagai peragawati sambilan di Kuala Lumpur.
Mangsa dikenali sebagai Cheok Hui Min, 22, berasal dari Ampang, Selangor dipercayai pernah menyertai Pertandingan Ratu Cantik anjuran sebuah akhbar berbahasa Cina, awal tahun ini.
Bapa mangsa yang enggan dikenali berusia 50-an berkata, kali terakhir dia menghubungi anak bongsunya pada minggu lalu untuk bertanya khabar.
“Anak saya tinggal bersama bekas isteri di Ampang manakala saya berada di Lukut, Port Dickson selepas kami bercerai.
“Semalam (kelmarin), saya dihubungi anggota polis yang memaklumkan penemuan mayat anak di tepi jalan di daerah ini dan bergegas ke hospital,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), di sini, semalam.
Katanya, dia percaya anaknya berkemungkinan dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dicampak di daerah ini.
“Ini berikutan polis tidak menemui apa-apa dokumen pengenalan diri dan dompet anak turut hilang.
“Bagaimanapun, saya percaya polis dapat menahan penjenayah itu dalam masa terdekat dan yakin mereka dapat menyelesaikan kes ini,” katanya sebak.
Semalam Harian Metro melaporkan, dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, mangsa ditemui di longkang di tepi jalan tempat kejadian oleh sepasang suami isteri yang melakukan riadah pagi di sekitar kawasan itu.
Sumber berkata, mangsa berkemungkinan dicekik sebelum mayatnya dicampak di situ berdasarkan kesan lebam di leher dan luka di badan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Zainal Abu ketika dihubungi mengesahkan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Kita masih menunggu laporan bedah siasat dan akan mengetahui sebab kematian dalam masa terdekat,” katanya. – Harian Metro
No comments
Post a Comment