GEMAS – Keadaan 18 unit kuarters kakitangan Felda yang terbengkalai di Felda Pasir Besar di sini, membimbangkan penduduk apabila ia dijadikan tempat lepak golongan remaja melakukan aktiviti tidak berfaedah.
Ketua Umno Cawangan Felda Pasir Besar, Samsul Kahar Alias berkata, kuarters yang sepatutnya siap Mei tahun lalu telah menimbulkan banyak masalah buat penduduk.
Menurutnya, penduduk terpaksa berdepan dengan masalah nyamuk, limpahan air dari sistem saliran yang terabai dan longkang bertakung.
“Baru-baru ini, kami dapati kuarters berkenaan dijadikan sebagai tempat maksiat apabila terdapat beberapa keping kotak diletakkan di situ untuk dijadikan alas lantai.
"Saya juga bimbang sekiranya ia dijadikan sebagai tempat untuk penagih dadah dan pelajar yang ponteng sekolah," katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.
Samsul Kahar berkata, dia meminta pihak bertanggungjawab memantau kawasan itu bagi mengelakkan berlakunya kejadian yang tidak diingini.
“Kita harap kawasan kuarters ini dapat dibersihkan bagi memudahkan kita memantau kehadiran individu di sini,” katanya.
Sementara itu, seorang peneroka, Johar Hashim, 49, berkata, sekiranya kuarters itu dibiarkan berterusan, ia boleh menjejaskan keselamatan penduduk apabila haiwan liar berkenaan masuk ke dalam rumah mereka.
“Kita harap masalah ini dapat diselesaikan segera dan tidak terus membelenggu penduduk. Malah, salinan surat berkenaan masalah itu juga sudah dihantar kepada Biro Pengaduan Awam (BPA) untuk tindakan lanjut," katanya.
No comments
Post a Comment