KUANTAN – Seorang tukang masak sebuah hotel terkenal di Jerantut yang
cuba menipu penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) akhirnya
mengaku menggunakan arak selepas disoal siasat.
Tukang masak berkenaan pada mulanya mengaku arak jenis wine itu
adalah minumannya dan disimpan bersama bahan masakan lain termasuk sos
dan kicap.
Bagaimanapun, selepas melihat tulisan tertera Gourmet Cooking Wine
yang ditunjukkan penguatkuasa, dia bersetuju bahawa arak itu digunakan
untuk memasak masakan Cina.
Penolong Pengarah Unit Pengurusan Halal Jaip, Noridzuan Abdul Manan
berkata, dua jenis arak yang ditemui itu diimport dari China dan
dipercayai digunakan ketika menyediakan masakan kepada pelanggan Islam
kerana peralatan masakan sama tanpa sebarang pengasingan.
“Kandungan alkoholnya hanya satu peratus tetapi kita tetap serius
dengan perkara ini bagi menangani kemaslahatan pelanggan Islam,” katanya
ketika dihubungi di sini, semalam.
Noridzuan berkata, semua tukang masak di hotel berkenaan bukan Muslim
dan hotel itu juga tidak pernah memohon sijil halal tetapi pemantauan
dilaksanakan bertujuan untuk mengetahui status halal masakan yang
disajikan.
Menurutnya, pengurusan hotel tidak berminat memohon sijil halal
kerana restoran di hadapan dapurnya menghidangkan minuman keras bagi
pengunjung bukan Islam.
“Mereka juga tetap mahu meneruskan penggunaan ramuan dan aneka sos
yang tidak dapat disahkan status halal yang tidak dapat menepati syarat
dan prosedur pensijilan halal,” katanya.
Noridzuan berkata, pemantauan dilaksanakan bersama Pejabat Agama Islam Jerantut dan Pejabat Kesihatan Daerah Jerantut.
Selepas lebih satu jam membuat pemeriksaan, katanya, kumpulan
pemantau itu mendapati amalan kebersihan tidak memuaskan secara
keseluruhan terutama di bahagian dapur dan peti sejuk.
“Sarang telur dan telur yang tidak dibasuh dan diletak berhampiran
dengan tempat memasak dan semua pekerja di bahagian dapur tidak mendapat
suntikan anti typhod serta gagal menghadiri kursus pengendalian
makanan.
“Pihak hotel sebenarnya tidak melakukan sebarang pelanggaran Akta
Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal 2011) kerana tidak
terdapat apa-apa pernyataan halal atau apa-apa perkataan atau objek yang
boleh membawa pengertian halal di premis hotel itu,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menasihatkan pelanggan Islam tidak mudah
terpedaya dengan ajakan individu tertentu supaya mencuba masakan di
hotel atau restoran terkenal yang tiada tanda halal.
Jaip juga menggesa premis makanan supaya lebih peka dengan keperluan
penyediaan makanan halal bagi pengguna Islam terutama aspek ramuan yang
jelas tidak halal. – Sinar Harian
No comments
Post a Comment