GEORGETOWN – Kumpulan pengguna mendesak restoran dan kedai makan
meletakkan harga yang berbeza untuk minuman bergula dan tanpa gula.
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang S.M. Mohd Idris berkata minuman tanpa gula sepatutnya berharga 10 sen lebih murah.
“Ramai juga orang mahu mengurangkan gula atas sebab-sebab kesihatan dan ini perlu digalakkan,” katanya.
Setiausaha Agung Fomca, Datuk Paul Selvaraj berkata adalah adil
kepada pengguna membayar harga yang kurang jika mereka memesan minuman
yang kurang atau tiada gula.
“Harga yang lebih rendah untuk minuman tanpa gula juga akan menjadi
insentif kewangan untuk mengurangkan penggunaan gula,” katanya.
Bajet 2014 memansuhkan subsidi gula sebanyak 34 sen sekilo untuk
mengurangkan penggunaan gula dan mengurangkan kadar penyakit diabetes di
kalangan rakyat Malaysia.
Di Petaling Jaya, pengguna mengatakan bahawa adalah tidak adil
mengenakan bayaran terhadap mereka untuk sesuatu yang mereka tidak
memesannya.
Jurutera Goh Kean Choon, 28, berkata, harga minuman tanpa gula
seharusnya dikurangkan, sekurang-kurangnya 20 sen berbanding minuman
biasa yang manis.
“Jika saya berjimat untuk minuman, saya boleh makan makanan lain atau membelanjakannya untuk petrol,” katanya.
Pelajar universiti Ong Chyi Ann, 20, berkata mengurangkan harga
minuman sebanyak 30 sen bagi setiap minuman akan menampakkan perbezaan
dalam perbelanjaannya, sambil menambah bahawa dia datang dari keluarga
berpendapatan rendah.
Pelajar Chang Kwok Fai, 21, merasakan bahawa sesetengah peniaga telah mengambil kesempatan daripada pemotongan subsidi gula.
Eksekutif IT, Aldrin Kau, 26, tidak berfikir bahawa pengendali makanan akan menurunkan harga untuk minuman tanpa gula.
“Jika mereka tidak perlu berbuat demikian, mereka tidak akan melakukannya,” katanya. – mStar
No comments
Post a Comment