GUNUNG SEMANGGOL – PERAK. Penduduk sekitar Bukit Merah di sini gempar
dengan penemuan seekor ikan pelik bermulut buaya oleh seorang nelayan
sungai setelah terperangkap di dalam bubu dawai miliknya.
Dalam kejadian jam 9.00 pagi di Batu 39, Jalan Keretapi Bukit Merah,
nelayan itu, Abu Zabar Husin,75, berkata, dia terkejut dengan penemuan
ikan itu kerana spesies ikan itu sangat pelik dan mengakui baru pertama
kali melihatnya.
Menurutnya, malam sebelum kejadian berlaku, dia telah memasang bubu
di sebuah parit berhampiran rumahnya dan pergi semua ke lokasi itu pada
sebelah pagi untuk melihat hasil tangkapan ikan.
“Ketika hendak mengangkat bubu, saya melihat keadaannya bergoncang kuat seolah-olah telah menahan banyak ikan.
“Saya mula membayangkan hasil tangkapan lumayan, bagaimanapun saya
terkejut mendapati seekor ikan bermulut buaya terperangkap di dalamnya,”
katanya ketika ditemui media, semalam.
Abu Zabar berkata, bubu ikan yang ditangkapnya hampir terlepas dari
dakapan setelah dia menyangka haiwan yang terperangkap di dalamnya
adalah anak buaya.
“Bagaimanapun, ikan itu mati tidak lama selepas itu setelah keadaannya terlalu lemah.
“Berita penemuan ikan itu mula tersebar dalam kalangan penduduk
kampung dan rumah saya seakan-akan pesta apabila dikunjungi orang ramai
tidak henti-henti sehingga kini,” katanya.
Abu Zabar berkata, seorang pegawai dari Jabatan Perikanan yang
mengunjungi rumahnya mengesahkan bahawa ikan yang ditemui adalah dari
spesies ‘Alligator Gar’ iaitu spesies ikan dilindungi dan amat jarang
ditemui di perairan Malaysia.
“Saya percaya ikan seberat hampir dua kilogram dan sepanjang hampir
satu meter itu berkemungkinan sesat berikutan banjir yang berlaku di
beberapa buah negeri,” katanya. - Sinar Harian
No comments
Post a Comment