PETALING JAYA – Pelakon Diana Rafar
menepis tuduhan rumah tangga yang dibinanya bersama aktor Zamarul
Hsiham, 42, menghadapi krisis sehingga menyebabkan mereka jarang dilihat
keluar bersama.
Diana atau nama sebenarnya Adriana Abd.
Rafar, 31, berkata, hubungan mereka tidak menghadapi sebarang masalah
sebaliknya Zamarul terlalu sibuk di lokasi penggambaran mengakibatkan
pelbagai andaian timbul.
“Hubungan kami memang ‘renggang’ kerana kesibukan Zamarul di mana jadualnya penuh dengan penggambaran drama.
“Saya pun tak tahu bila masanya tidak sibuk tetapi macam mana pun kami masih lagi bersama,” katanya yang dihubungi mStar Online.
Diana mengakui ada kalanya dia berasa
hati terhadap Zamarul yang jarang mempunyai masa untuk bersama dan
mereka pernah membincangkan perkara tersebut.
Bagaimanapun kata Diana, dia harus memahami kesibukan suaminya itu merupakan satu pengorbanan terhadap keluarga.
“Biasalah bila pergi ke majlis tanpa
suami, orang mulalah bertanya dan memberi pelbagai andaian. Malah wajah
Zamarul tiada dalam Instagram saya pun orang tertanya-tanya kenapa?
“Tapi nak buat macam mana, nak ambil gambar bersama pun tak sempat,” tuturnya.
Hasil perkahwinan Diana dan Zamarul pada
16 Mei 2009, pasangan itu mempunyai seorang anak lelaki iaitu Kashfi
Haikal yang kini berusia tiga tahun.
Zamarul pula mempunyai seorang anak daripada perkahwinan terdahulu iaitu Izzat Haikal, 14.
Dalam pada itu Diana berkata dia
berhasrat untuk membuat kemunculan semula dalam bidang lakonan selepas
spa yang dimilikinya di Shah Alam sejak tujuh tahun lalu ditutup kerana
kekurangan pelanggan.
“Sekarang ini saya sibuk dengan
mempromosikan produk kecantikan saya Maixara selain menjadi duta kepada
produk Sumber Ayu,” jelasnya. – mStar Online
No comments
Post a Comment