KUALA LUMPUR – Pensyarah bergelar profesor di sebuah universiti
terkemuka di Lembah Klang berkahwin secara mutaah dengan pasangannya
yang juga seorang pensyarah dan menjadikan bilik pejabat sebagai tempat
untuk melakukan hubungan seks.
Penolong Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Bahagian Keselamatan
dan Ketenteraman Awam, Dr Zamihan Md Zain, berkata pasangan pensyarah
berusia 40-an itu berkahwin tiga tahun lalu sebelum dikurniakan seorang
anak.
Beliau berkata, pensyarah lelaki berkenaan yang bergelar profesor
adalah penganut ajaran Syiah dan berasal dari sebuah negeri di Pantai
Timur, berjaya mempengaruhi pasangannya untuk mengikuti ajaran itu.
Kahwin sementara
“Kedua-dua pensyarah ini bergelar profesor dan berkhidmat di sebuah
universiti terkemuka di Lembah Klang. Mereka berkahwin mutaah untuk
beberapa bulan dan kemudian bercerai.
“Inilah yang kita bimbang jika tidak ada satu kawalan atau undang-undang tegas mengekang penyebaran fahaman Syiah.
“Golongan cerdik pandai bertaraf profesor pun boleh terpengaruh apatah lagi kalau mereka yang cetek pengetahuan agama.
“Sebab itu kita perlukan satu undang-undang yang tegas. Ajaran Syiah
dan kahwin mutaah ini boleh menimbulkan kecelaruan dalam masyarakat,”
katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Zamihan berkata, undang-undang yang tegas diperlukan bagi menyekat
penyebaran fahaman itu kerana lebih 200,000 warga Iran berada di negara
ini setiap tahun termasuk pelajar.
Berdasarkan statistik tahun lalu, seramai 17,000 pelajar Iran
melanjutkan pengajian di negara ini, 38,000 bermastautin secara
sementara dan 150,000 lagi masuk sebagai pelancong.
Penyebaran secara senyap
Katanya, angka itu tidak termasuk warga Iraq serta beberapa negara
lain yang turut mengamalkan Syiah masuk ke negara ini dan dibimbangi ia
akan menyebarkan fahaman itu secara senyap kepada rakyat tempatan.
“Mereka dikesan turut menyebarkan fahaman itu di negara ini dan empat
universiti awam menjadi lokasi kepada penyebaran fahaman ini
membabitkan pensyarah dan juga pelajar.
“Julai lalu ulama Syiah dari Iran turut ke negara ini untuk bertemu
penganut fahaman itu dan lebih malang lagi mereka turut mendapat
sokongan beberapa pemimpin politik dan ahli perniagaan bergelar Datuk,”
katanya. – Berita Harian
No comments
Post a Comment