DI SINGAPURA, seorang pendaki wanita sanggup bergadai nyawa dengan membiarkan sebuah batu besar seberat 200 kilogram menghempap kepalanya bagi menyelamatkan rakannya.
Akibatnya, Alvina Lee, 23, terpaksa ditempatkan di Unit Rawatan Rapi di Hospital Universiti Kebangsaan selepas mengalami keretakan pada tengkorak dan pergelangan tangan kanan selain kerosakan saraf muka dan telinga.
Kejadian berlaku sewaktu wanita tersebut dan rakannya sedang mendaki permukaan tebing yang dikenali sebagai ‘Super Crack’ yang menjadi lokasi popular pendaki di Bukit Timah.
Memetik laporan Stomp Straits Times, rakannya yang berada pada ketinggian 20 meter secara tidak sengaja terpijak sebuah batu besar sekaligus menjatuhkannya ke arah Alvina yang berada di bawahnya.
“Saya hanya mempunyai dua pilihan – sama ada melepaskan tali yang mengikat rakan saya itu dan melihatnya jatuh atau membiarkan batu itu menghempap saya. Saya memilih yang kedua,” ujar Alvina.
Dia yang pengsan selepas hentaman itu segera dibantu oleh pendaki lain dan dibawa turun ke permukaan tanah sebelum dikejarkan ke hospital.
Alvina dibenarkan keluar selepas 13 hari dirawat dan keluarganya menyifatkan kejadian itu sebagai suatu keajaiban.
No comments
Post a Comment