SUNGAI PETANI – Keadaan 10 blok kuarters guru lima tingkat di
belakang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pasir membimbangkan
penduduk berdekatan memandangkan ia telah dijadikan tempat lepak bagi
golongan remaja melakukan perbuatan tidak berfaedah.
Penduduk, Yaakob Bakar, 58, berkata, kuarters yang mampu menempatkan
kira-kira 100 keluarga dilihat tidak berpenghuni sejak lebih lima tahun
walaupun dipercayai dilengkapi pelbagai kemudahan perabot, tempat letak
kereta dan sebuah surau.
Beliau yang juga Bendahari Badan Kebajikan Islam Taman Semarak
(Bakitas) berkata, keadaan menjadi semakin teruk apabila ia dipenuhi
semak sementara perkakasan besi dan serpihan kayu perabot diambil orang
disebabkan tiada sesiapa yang menjaga kuarters berkenaan.
“Kita selalu membuat rondaan dan adakala melihat beberapa individu
atau berkumpulan keluar dari kawasan kuarters tidak kira siang atau
malam,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Menurutnya, ia juga dikhuatiri menjadi sarang haiwan liar terutama
ular kerana jaraknya terlalu hampir dengan kawasan perumahan dan dua
sekolah.
Sementara itu, Barkri Ahmad, 57, berkata, kuarters itu juga dilihat
menjadi sarang maksiat bagi pasangan kekasih terutama pada waktu malam.
Dia yang juga ahli jawatankuasa Bakitas berkata, setelah
bertahun-tahun ditinggalkan, kuarters itu kini dikhuatiri menjadi port
lepak penagih dadah mahupun pelajar ponteng sekolah untuk melakukan
kegiatan tidak bermoral.
Sementara itu, Ketua Umno Cawangan Taman Semarak, Mohd Romaizi Mohd
Ghazali berkata, blok berkenaan boleh menempatkan anggaran 500 ahli
keluarga sekiranya dimanfaatkan sebaiknya.
“Apabila ditinggalkan, sistem perparitan tidak teratur, loji rosak,
longkang bertakung yang boleh menyebabkan Aedes membiak, laluan kumbahan
juga tersumbat tambahan pula penutup besi hilang, tidak tahu angkara
siapa,” katanya.
Menurutnya, kuarters berkenaan sekiranya dapat dibaik pulih, boleh
menempatkan pelajar asrama atau mana-mana pelajar pusat pengajian yang
berhadapan masalah tempat tinggal.
“Ada kelebihannya juga sekiranya dijadikan tempat berteduh golongan
miskin yang terbeban dengan masalah kewangan akibat taraf hidup yang
semakin meningkat,” katanya.
Sementara itu, Sinar Harian yang meninjau lokasi kuarters tersebut
semalam, terkejut apabila bertembung seorang penunggang motosikal dengan
selamba keluar dari situ.
Siasatan ke lokasi turut menemui sebuah lagi motosikal yang diparkir
di blok kelima kuarters dengan tiga topi keledar diletakkan di kawasan
sama, bagaimanapun, tiada kelibat mana-mana individu kelihatan.
Sebaik tinjauan diteruskan, terdengar bunyi bising dari beberapa blok
terakhir dipercayai perbuatan individu tertentu sedang mencungkil kayu
atau besi yang terdapat dalam kuarters, besar kemungkinan untuk dijual
bagi mendapatkan wang.
Sehubungan itu, Mohd Romaizi menggesa pihak berkaitan melakukan tindakan susulan bagi mengatasi masalah berkenaan.
Dalam perkembangan sama, Exco Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja
Raya, Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata, pihaknya telah dimaklumkan
mengenai perkara itu dan akan membuat lawatan susulan tidak lama lagi.
Menurutnya, lawatan juga akan menjemput beberapa jabatan terlibat
termasuk Jabatan Kerja Raya, Pejabat Pelajaran Daerah, Jabatan Pelajaran
Negeri dan beberapa pihak lain berkaitan.
“Saya akan melihat secara terperinci berhubung masalah ini dan kebimbangan yang disuarakan penduduk.
“Tambahan pula, ia melibatkan prasarana yang sudah dibina, berlaku pembaziran sekiranya dibiarkan,” . – Sinar Harian.
No comments
Post a Comment