KUANTAN – Sesi pembelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tok
Sera gempar apabila sekurang-kurangnya 70 pelajar diserang histeria,
semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang, pelajar lelaki dan perempuan
yang terkena gangguan itu, meracau-racau dan lari bertempiaran di
sekeliling bangunan sekolah sehingga menyukarkan para guru menenteramkan
mereka.
Seorang bapa, Saifullizan Abdullah, 38, memberitahu, kejadian
histeria itu sudah berlarutan agak lama dan lebih merisaukan dua
anaknya, Emy Syazana, 16, dan Norsyafikah, 13, turut mengalaminya.
Menurutnya, kejadian histeria itu juga sudah berlaku berulang kali malah mengganggu pelajaran dua anaknya itu.
“Sejak kejadian tersebut, sikap kedua-dua anak saya berubah apabila menjadi kuat tidur dan lemah.
“Ketika dirasuk di sekolah, ada sesetengah pelajar didapati tidak
sedarkan diri dan ada mendakwa mendengar bisikan yang menyuruh mereka
terjun dari bangunan sekolah,” katanya.
Saifullizan berkata, paling membimbangkan apabila kejadian pelajar
terjun dari bangunan sekolah pernah berlaku dua kali di lokasi yang sama
dan salah seorang daripada mangsa maut pada Mei lalu manakala kejadian
terbaru pada bulan lalu.
“Saya risau kejadian buruk ini akan mengganggu dua anak saya atau pelajar lain.
“Justeru, saya amat berharap tindakan segera dapat diambil bagi menyelesaikan masalah ini,” katanya.
Seorang pelajar yang enggan dikenali pula berkata, semasa kejadian,
pihak sekolah mengambil inisiatif melaungkan azan bagi meredakan
keadaan. Bagaimanapun, situasi menjadi lebih buruk apabila para pelajar
terbabit dikatakan semakin agresif dan marah apabila mendengarnya.
“Sekolah ini menjadi huru-hara apabila pelajar yang diserang histeria berlari bertempiaran di sekitar sekolah.
“Keadaan menjadi kecoh apabila guru sukar untuk mengawal dan
menangkap mereka untuk dibawa ke makmal komputer bagi diberikan
rawatan,” katanya.
Katanya lagi, situasi itu bagaimanapun kembali tenang apabila pihak
sekolah memanggil seorang ustaz untuk memulihkan pelajar terlibat.
“Saya tengok kakak saya yang turut terkena histeria terbaring dan
kemudiannya sedar kembali selepas ustaz memulihkan mereka,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Pelajaran Pahang, Rosdi Ismail ketika
dihubungi berkata, beliau masih menunggu laporan mengenai kejadian
tersebut dan akan menjalankan siasatan lanjut.
“Kita akan siasat kejadian ini selepas menerima laporan daripada pihak sekolah,” katanya. – ERMA YUSNIDA JUSOH / Sinar Harian
No comments
Post a Comment