LEDANG – Seorang anggota polis
berpangkat lans koperal menembak mati isteri dan bapa mertuanya sebelum
menembak diri sendiri dalam kejadian di Felda Chempelak, Labis dan di
Kampung Padang Lerek 1, di sini Sabtu malam.
Isteri suspek berusia 26 tahun itu
merupakan seorang kerani sekolah di Bandar Tangkak di sini manakala
bapanya seorang iman di Kampung Padang Lerek 1, di sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.15
malam, anggota polis itu dikatakan terlebih dahulu menembak isterinya di
kuarters Pondok Polis Felda Chempelak di Labis, Segamat sebelum pergi
ke rumah bapa mertuanya di Kampung Padang Lerek 1 yang terletak hampir
90 kilometer.
Suspek, 28 tahun, dikatakan mencari ibu
mertua tetapi gagal dan terserempak dengan bapa mertuanya yang ketika
itu sedang bersiap-siap hendak ke masjid lalu menembaknya.
Suspek kemudian bertindak menembak diri
sendiri dan rebah serta meninggal dunia di rumah bapa mertua, manakala
bapa mertua yang cedera parah akibat terkena tembakan dikejarkan ke
Hospital Daerah di sini tetapi disahkan meninggal dunia pada kira-kira
pukul 8.15 malam.
Sementara itu seorang jiran mangsa, yang
enggan dikenali, berkata beliau terkejut apabila terdengar bunyi
letupan dan salah seorang anak lelaki mangsa tiba-tiba datang ke
rumahnya memberitahu ayahnya ditembak oleh suspek yang juga abang
iparnya.
“Saya amat terkejut dan memberanikan
diri untuk melihat ke dalam rumah mangsa dan apabila masuk, saya lihat
dua tubuh terbaring di ruang tamu berlumuran darah.
“Imam itu ketika itu berada dalam
keadaan terlentang dalam keadaan nyawa-nyawa ikan manakala suspek
tertiarap di atas meja,” katanya yang bertindak menghubungi polis dan
ambulans sejurus selepas itu.
Katanya, sebelum itu beliau ada melihat
suspek pulang ke rumah bapa mertuanya itu bersama anak lelakinya yang
berusia tiga tahun dengan menaiki sebuah Proton Wira sebelum salah
seorang anak perempuan imam itu keluar bermain-main bersama anak suspek.
Sementara itu, jenazah suspek dan bapa
mertuanya dibawa ke bilik mayat Hospital Daerah Ledang di sini manakala
sepasukan anggota forensik masih menjalankan siasatan di rumah kejadian
di Kampung Padang Lerek 1.
Ketua Polis Daerah Ledang, Supt Harun
Idris turut berada di tempat kejadian, namun belum mengeluarkan sebarang
kenyataan berhubung kejadian itu. – BERNAMA
No comments
Post a Comment