Satu perkara yang sentiasa dititikberatkan dalam penampilan si fesyenista - penggunaan aksesori sebaik mungkin.
Jika dilihat pada wanita mahupun lelaki yang gemar tampil berbeza, padanan aksesori menjadi titik tumpuan dalam penataan gaya mereka meskipun sekadar seutas rantai labuh atau sebentuk cincin dempak.
Andai tumpuan atau glamor yang diimpikan, sepasang kaca mata hitam besar pula berupaya menonjolkan personaliti diri malah disifatkan sebagai aksesori pilihan utama bagi melengkapkan penampilan.
Sememangnya fungsi kaca mata hitam zaman ini tidak lagi sekadar melindungi mata daripada terik mentari. Pemakaian kaca mata hitam mula diangkat sebagai salah satu budaya dalam berfesyen hingga ada yang menjadikannya sebahagian daripada kehidupan.
Berdasarkan sejarah, pemakaian kaca mata hitam mula dijadikan aksesori fesyen sekitar 1940-an terutama di pantai sebelum dipopularkan selebriti serta pelakon Hollywood sebagai salah satu cara untuk melindungi identiti mereka daripada gangguan paparazi.
Namun seiring dengan peredaran masa, pemakaian kaca mata hitam era ini ibarat mewakili personaliti diri, gaya serta mampu mengubah sebarang penampilan.
Majoriti lebih memilih gaya daripada aspek praktikal hingga ada yang memudaratkan. Ramai juga yang tidak faham cara pemilihan kaca mata yang sesuai dengan bentuk muka.
Tapi bagi pengasas ic! berlin, Ralph Anderl, pakailah apa saja kaca mata yang digemari asalkan selesa dan tidak memberi bebanan.
“Saya percaya tiada betul atau salah dalam berfesyen. Wujud beberapa panduan dalam memilih kaca mata yang sesuai, tapi jika si pemakai gembira dan selesa dengan apa yang dipakainya - walaupun tidak sesuai dengan bentuk muka - teruskanlah saja. Tidak ada salahnya pun.
“Setiap individu berhak tampil menarik dalam cara paling disenangi dan digemarinya. Yang penting, kaca mata pilihan itu tidak mengganggu aktiviti harian atau memberikan kemudaratan seperti kesan bengkak di hidung atau sakit di cuping telinga,” katanya.
Berteraskan kepada falsafah itu, Anderl mencipta koleksi kaca mata daripada lembaran logam yang tidak memerlukan skru - cukup dengan hanya menggunakan sistem klip engsel yang nyata unik.
Secara ringkasnya, sistem ini membolehkan kaca mata ic! berlin dibuka dan dipasang semula, sekali gus mengelakkan masalah kaca mata pecah atau patah.
Kacanya pula buatan tangan dan dihasilkan secara eksklusif di Berlin, Jerman. Menariknya, semua koleksi kaca mata biasa dan hitam ic! berlin amat ringan dan tidak meninggalkan kesan pada batang hidung, tepi pipi atau telinga.
ic! berlin menarik perhatian bukan saja pada rekaan luarannya malah fleksibiliti serta bentuk kestabilannya.
Dengan lima kategori - Hecking, Kids, Prescription, Sun dan Psycho - ic! berlin cuba mengembangkan lagi pemakaian cermin mata alaf baru ini buat semua peringkat usia.
Hecking menampilkan koleksi kolaborasi dengan pereka dari Berlin, Luisa Hecking yang menonjolkan kaca mata hitam klasik, tapi diserikan dengan lukisan Luisa yang dihasilkan laser.
Koleksi Kids pula tertumpu kepada eksperimentasi kanak-kanak dalam menghasilkan kaca mata kegemaran mereka. ic! berlin mengambil pendekatan bekerja dengan sekumpulan kanak-kanak bagi mengenal pasti apa yang diperlukan serta sesuai untuk golongan cilik itu.
Rangkaian kaca mata Prescription lebih kepada kaca mata biasa dengan rekaan bingkai klasik. Ringan dan selesa.
Koleksi Sun cuba menyerlahkan rekaan kaca mata hitam pelbagai gaya manakala himpunan Psycho dapat memenuhi cita rasa si individu eksentrik.
Panduan memilih
Ramai menghadapi kesukaran memilih kaca mata yang bukan saja menarik digayakan, tetapi sesuai dengan bentuk wajah. Bak kata Anderl, gayakan apa saja yang diminati, tapi tidak salah jika menitikberatkan beberapa panduan ini sebelum membeli kaca mata.
Wajah bersegi
Wajah bentuk ini menampilkan garis rahang yang ketara, dahi luas dan tulang pipi yang agak tinggi. Justeru, kurangkan sisi petak itu dengan kaca mata hitam yang boleh ‘melembutkannya’ seperti jenis bulat, bujur klasik dan mata kucing.
Elakkan memakai kaca mata hitam jenis aviator kerana ia boleh membuatkan dagu dan pipi tampak lebar.
Wajah bujur
Ia dikatakan wajah ideal kerana hampir semua rekaan kaca mata hitam sesuai dengan wajah jenis ini. Jangan takut untuk mencuba rekaan kaca mata unik kerana ia tidak akan menjejaskan bentuk wajah.
Cuma sebaiknya elakkan memakai kaca mata hitam yang terlalu bujur kerana ia boleh membuatkan wajah kelihatan kurang seimbang.
Wajah bulat
Untuk membuatkan wajah ini tampak lebih kecil, gayakan kaca mata hitam rekaan segi empat dengan bingkai cermin yang tidak terlalu tebal.
Pilih rekaan yang sederhana besar, sekurang-kurangnya sehingga ke bulu kening dan elakkan kaca mata bulat kerana wajah akan lebih kelihatan berisi.
Wajah bentuk hati
Wajah jenis ini mempunyai rahang yang panjang dengan keadaan dahi yang agak luas. Elakkan tumpuan pada bahagian rahang dengan memberi perhatian kepada kawasan mata.
Kaca mata hitam rekaan aviator saiz besar, juga bentuk mata kucing sesuai untuk memberi keseimbangan kepada dua aspek itu. Elakkan kaca mata hitam kecil dan nipis.
No comments
Post a Comment