LUBUK MERBAU – Setiap kali menjelang hari raya pasti penduduk di Felda Lubuk Merbau terpaksa berdepan masalah bekalan air.
Difahamkan, masalah itu berlaku sejak lima tahun lalu, tetapi pada tahun ini ia bertambah serius kerana paip air di rumah penduduk dikatakan langsung tidak berfungsi seperti hari biasa.
Ketiadaan air itu menyebabkan penduduk terpaksa mencari pilihan lain bagi menampung keperluan air di rumah mereka, malah terpaksa ke kawasan lain bagi mendapat bekalan.
Antara Peringkat (kawasan Felda) paling teruk berdepan masalah bekalan air itu ialah di Peringkat 5, 6, 7, 8 dan 9 membabitkan kira-kira 200 keluarga kerana kedudukan kediaman mereka dikatakan terletak di atas tanah tinggi hingga menyebabkan tekanan air sangat rendah.
Naik taraf kemudahan asas
Penduduk, Md Noor Md Zain, 67, dari Peringkat 7 berkata, sebelum ini masalah air pada hari raya tidak begitu serius kerana pada waktu siang bekalannya terputus sekejap sahaja, tetapi pada waktu malam ia akan pulih seperti biasa.
Menurutnya, namun pada tahun ini bekalan air terputus pada waktu siang dan malam sejak 7 Ogos lalu menyebabkan penduduk tidak puas hati dan berharap Syarikat Air Darulaman (Sada) menyelesaikan isu air di kawasan tersebut.
“Sudah enam malam saya tidak boleh tidur kerana terpaksa mengangkut air serta terpaksa tunggu bekalan air pada waktu malam dibawa oleh lori. Saya terpaksa menggunakan bekalan air lebih daripada biasa kerana anak dan cucu pulang bagi menyambut hari raya.
“Saya terpaksa mengangkut air kira-kira 100 meter dari rumah menyebabkan seluruh badan berasa sakit serta tekanan darah juga meningkat,” katanya.
Md Noor berkata, paling menyedihkan ialah pada pagi 1 Syawal ramai penduduk di sini terpaksa keluar dari Felda ke tempat lain mencari sungai dan loji untuk mandi bagi persiapan solat Aidilfitri.
Menurutnya, justeru penduduk berharap pihak bertanggungjawab menaik taraf kemudahan terutamanya berkaitan air pada penduduk di sini.
“Penduduk di sini juga sudah bosan dengan janji yang pernah dikatakan oleh pihak tertentu bagi menaikkan taraf kemudahan air untuk penduduk di Felda ini tapi hinggalah sekarang belum nampak sebarang kemajuan,” katanya.
Tambah beban
Bagi Saadah Taha, 63, dari Peringkat 8 berkata, ketiadaan bekalan air menyebabkan segala urusan rumah tangga tidak dapat dilakukan dengan sempurna.
Katanya, kesulitan ketiadaan bekalan air itu bertambah apabila anak cucu pulang untuk menyambut hari raya dimana pakaian tidak dapat dibasuh hingga terpaksa dibawa ke loji air yang berdekatan.
“Selain itu, ada penduduk di sini turut mandi di masjid berdekatan setiap hari sejak bekalan air terputus. Masalah ini akan bertambah parah bila ada majlis kenduri perkahwinan kerana bekalan air dihantar oleh Sada selalunya tidak mencukupi.
“Penduduk terpaksa menggunakan pinggan pakai buang bagi menjamu tetamu yang datang ke sini bagi menyambut hari raya supaya tidak perlu membasuh kerana tiada air,” kata.
Ibu kepada lapan anak itu berkata, kadangkala bekalan air dihantar juga dikatakan tidak sesuai untuk diminum kerana warnanya keruh dan penduduk terpaksa membeli air minuman di kedai bagi mengelak sebarang penyakit.
“Saya merayu pihak atasan dapat turun padang dan tinjau masalah kami di Felda ini. Sejak lima tahun kebelakangan ini ketiadaan bekalan air, kami rasa hidup seperti di tahun 1960-an yang terpaksa mengangkut air dari telaga,” katanya.
10 tangki statik
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan, Badrul Hisham Hashim ketika dihubungi berkata, pihaknya sedar dengan masalah dihadapi.
Katanya, pihaknya sudah menyediakan tiga lori dari Sada dan tiga lori tangki lagi untuk membawa air ke Felda itu.
Menurutnya, pihaknya turut menyediakan 10 tangki statik diletakkan di tepi jalan di Felda itu bagi meringankan masalah penduduk bagi mengambil air.
“Operasi loji di Felda itu tidak mempunyai sebarang masalah dan ia beroperasi seperti biasa tetapi oleh kerana penggunaannya bertambah pada musim perayaan ini ia menjejaskan kepada pengguna.
“Bagaimanapun masalah ini akan dibawa ke mesyuarat negeri supaya ia diperbaiki lagi hinggalah pengguna dapat menikmati kemudahan air dengan lebih sempurna pada masa akan datang,” katanya. – Sinar Harian/
No comments
Post a Comment