Montreal – Seekor ular sawa yang terlepas dari kurungan membunuh dua kanak-kanak yang lena tidur.
Kanak-kanak berkenaan, Connor dan Noah Barth berusia lima dan tujuh tahun tidur di apartmen seorang rakan ibu mereka Jean-Claude Savoie yang juga pemilik kedai yang menjual haiwan eksotik di bawah apartmen berkenaan di bandar Cambellton di New Brunswick.
Kedai itu turut menjual haiwan eksotik lain, termasuk buaya, monyet, kura-kura serta pelbagai jenis ular.
“Siasatan awal menunjukkan seekor ular besar terlepas dari kurungan di kedai itu pada tengah malam, merayap masuk ke dalam sistem udara sebelum menyusur ke tingkat atas.
“Kedua-dua kanak-kanak itu dipercayai dibelit oleh reptilia berkenaan,” menurut kenyataan polis.
Media tempatan melaporkan, reptilia itu jenis ular sawa batu Afrika itu berukuran antara 4.2 hingga 4.8 meter dan disifatkan oleh pemiliknya Savoie sebagai ganas menyebabkan ia jarang dipegang.
Pihak berkuasa masih menanti keputusan bedah siasat untuk menentukan kematian kanak-kanak berkenaan.
Bagaimanapun, pakar reptilia menyuarakan kesangsian mereka terhadap kejadian itu dengan berkata, jarang ular sawa membelit dua mangsa sekali gus.
“Sukar dipercayai,” kata David Rogrigue, Pengarah Zoo Ecomuzium Montreal.
Menurutnya, ular jenis itu biasanya menggigit untuk membela diri dan hanya membelit mangsa yang hendak mereka makan.
Sementara itu, seorang jiran, Diane Fournier menyifatkan kanak-kanak itu sebagai periang dan memang suka bermain dengan binatang.
Savoie berkata, dia menyangka Connor dan Noah, anak rakan baiknya, Mandy Trecartin sedang tidur sehingga dia melihat lubang di atas siling bilik mereka.
“Saya menyalakan lampu dan melihat keadaan yang mengerikan itu,” katanya. – Agensi
No comments
Post a Comment