PEMAJU hartanah I-Bhd memperkenalkan muzium lilin interaktif pertama di Malaysia yang dipenuhi patung lilin bintang terkenal dunia, dan dijangka akan menarik 30,000 pengunjung setiap bulan selepas ianya mula dibuka kepada orang ramai.
Muzium dengan tema permaidani merah seperti di anugerah berprestij Oscar itu mempamerkan 100 patung lilin personaliti terkenal mengikut enam tema iaitu Ikon Dunia, Selebriti, Bintang Sukan, Buku Rekod Dunia, Bintang Kafe dan Interaktif.
Pengarah I-Bhd, Monica Ong berkata, muzium itu dibina sebagai antara tarikan pelancongan di Malaysia dan dipercayai dapat menarik pelancong dari dalam atau luar negara sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.
"Kami sasarkan 30,000 pengunjung setiap bulan sepanjang tahun ini bagi muzium lilin itu kerana jumlah pengunjung keseluruhan i-City setiap minggu 90,000 orang.
"Disebabkan konsep i-City berorientasikan keluarga, sasaran pengunjung bagi muzium lilin ini juga adalah keluarga kerana ianya sesuai untuk semua peringkat umur dari kanak-kanak, dewasa dan warga emas," katanya.
Menurut beliau, konsep muzium tersebut direka dengan santai dan memberi kepuasan terutama kepada kanak-kanak berbanding muzium lilin di negara lain.
"Bagi tema interaktif kita boleh melihat patung lilin Psy (penyanyi Korea Selatan) menari tarian terkenalnya, Gangnam Style serta tarian dan nyanyian Michael Jackson. Pengunjung juga boleh mencuba persalinan baju yang dipakai oleh patung-patung lilin tersebut dan bergambar bersama," tambahnya.
Antara patung lilin yang dipamerkan di muzium itu adalah Perdana Menteri Malaysia pertama Tunku Abdul Rahman, pelakon Bruce Lee, pemain badminton negara Datuk Lee Chong Wei, pelakon Hollywood Daniel Craig dan Angelina Jolie serta ramai lagi.
Muzium seluas 30,000 kaki persegi itu turut dilengkapi kafeteria untuk pengunjung berehat serta kedai cenderahati.
Sempena pembukaan muzium tersebut, i-City menawarkan harga tiket promosi, iaitu pakej keluarga RM180 bagi dua orang dewasa dan dua orang kanak-kanak.
Harga tiket biasa bagi dewasa adalah RM100 seorang dan RM50 seorang bagi kanak-kanak manakala bagi pemegang MyKad, harga tiket adalah RM80 bagi dewasa dan RM40 bagi kanak-kanak.
No comments
Post a Comment