Penyanyi dari seberang yang terkenal
dengan lagu Hati Yang Tersakiti, Judika menyatakan hasratnya untuk
berduet dengan sebilangan artis Malaysia yang merupakan idolanya sejak
dirinya belasan tahun lagi.
Pemilik nama sebenar Judika Nalon Abadi
Sihotang ini sangat mengagumi bakat yang dimiliki oleh kumpulan rock
lagenda Search, Iklim, Slam, Faizal Tahir dan Datuk Siti Nurhaliza.
“Kalau ada peluang, saya mahu bikin
album duet dengan Amy (Search) dan Faizal Tahir. Saya juga teringin
berduet dengan Siti Nurhaliza. Mudah-mudah hasrat itu tercapai pada
konsert saya di sini nanti,” katanya memetik laporan Malaysian Digest.
Dalam perkembangan lain, penyanyi
bersuara merdu ini bakal menikahi kekasihnya, Duma Riris Silalahi yang
merupakan Miss Indonesia 2007 pada 31 Ogos depan yang juga merupakan
hari lahir Judika sendiri.
Setakat ini sebanyak 80 peratus
persiapan perkahwinan menuju hari bahagianya itu sudah selesai diuruskan
olehnya dan ahli keluarga yang lain.
“Syukur selepas pelbagai cabaran yang
kami berdua tempuh selama lima tahun bercinta termasuk hubungan kami
tidak direstui orang tua kekasih saya, akhirnya kami direstui dan akan
bernikah pada hari ulang tahun kelahiran saya nanti,” jelasnya.
Selama menempuh alam rumah tangga diucapkan buat Judika dan pasangan dan semoga perkahwinan itu kekal hingga ke akhir hayat.
No comments
Post a Comment