HULU LANGAT: Selepas menjuarai Asian Wave 2012, Shila Amzah, 23, sekali lagi bakal mencatat sejarah menjadi sebagai artis Malaysia pertama yang akan mengadakan persembahan di Lincoln Center, New York, Amerika Syarikat.
Konsert yang akan berlangsung pada 30 Mac ini bakal membawa Shila bersama beberapa artis hebat negara China dalam konsert jelajah Amerika di bawah pengurusan Shanghai Media Group (SMG).
Bapa yang juga pengurus kepada penyanyi ini, ND Lala atau Amir Amzah Salleh, 52, berkata perancangan rapi telah diatur bagi membawa Shila ke peringkat antarabangsa sekaligus menjadikannya artis bertaraf Superstar.
"Tumpuan diberikan untuknya mempersiapkan diri bergelar superstar. Kita buat yang terbaik, Saya percaya dengan semangat dan jati diri yang ada dalam dirinya, dia boleh berjaya sekaligus mengharumkan nama Malaysia ke persada muzik dunia,
"Banyak perancangan yang diatur selepas pulang dari menunaikan umrah dan Shila merupakan artis pertama yang menandatangani kontrak selama enam tahun bersama Shanghai Media Group (SMG). Shila juga telah dilantik sebagai Duta Persahabatan negara Malaysia dan China pada Januari lalu," katanya pada sidang media selepas majlis doa selamat sempena penubuhan Shila Entertainment Berhad, di kediamannya, Jumaat.
Syarikat tersebut bertindak menguruskan perjalanan kerjayanya di Malaysia, di Hong Kong dan Los Angeles.
Tambah ND Lala, Shila akan menetap di Shanghai selama enam bulan bagi membolehkannya menguasai bahasa Mandarin dan mengikuti segala aktiviti yang telah disusun oleh pihak pengurusan di sana.
"Bermula April depan Shila akan menetap di Shanghai yang akan ditemani ibunya. Dia melakukan proses rakaman album Mandarin dan membuat persembahan di sana. Di samping itu Shila juga perlu menguasai bahasa Mandarin dengan lebih baik," ujarnya.
Sementara itu, Pengurus Besar Badan Hak Pelaku dan Persembahan Artis Sdn Bhd (PRISM), Ong Peng Chu yang turut bertindak membantu menguruskan kerjaya Shila bersama SMG berkata perancangan yang dibuat mampu mengangkat nama Shila sebaris dengan artis popular Asia.
"Saya percaya, selepas setahun nanti tidak mustahil Shila akan menjadi artis yang namanya melebihi artis hebat seperti Tata Young. Malah saya difahamkan orang-orang di negara China sangat mengangumi cara dan gaya Shila membawakan lagu-lagu Mandarin. Dia seorang yang sangat unik dan luar biasa",
"Selama 3 minggu kami akan berada di Amerika Syarikat. Selain konsert jelajah, Shila juga berpeluang berkolaborasi dengan artis popular Hollywood," katanya.
Dalam perkembangan lain, bagi peminat-peminatnya di Malaysia, Shila memaklumkan dia bakal melancarkan album terbarunya pada Mei depan.
No comments
Post a Comment