TOKYO – Seramai lebih 200 ninja dari seluruh dunia telah berkumpul di Tokyo semalam bagi menjalani satu sesi seminar latihan selama dua hari yang khusus untuk wanita sahaja.
Seorang guru seni mempertahankan diri itu, Masaaki Hatsumi telah menghimpun semua pengamal ilmu seni mempertahankan diri tersebut dari 17 buah negara di gimnasium seni mempertahankan diri Budo-kan di Tokyo.
Perhimpunan itu dilakukan bagi menajamkan lagi kemahiran seni pertahanan diri semua ahli yang terlibat.
Hatsumi juga merupakan seorang pengasas sekolah seni mempertahankan diri Bujinkan.
Katanya, zaman ejen-ejen perisikan bertopeng beraksi menjalankan tugas pengintipan terhadap musuh dengan memakai topeng sudah berlalu.
Pada zaman sekarang, ninja merupakan orang biasa yang mengamalkan kemahiran seni mempertahankan diri ninjutsu.
Ninjutsu menekankan kepentingan keseimbangan dan ruang yang ada untuk menjatuhkan lawan.
Seorang tenaga pengajar dari Amerika Syarikat (AS), Sheila Haddad berkata, imej ninja pada masa silam mungkin menarik minat ramai orang untuk turut serta.
Namun mereka akhirnya akan mengetahui kepentingan budaya dan falsafah yang ada dalam ilmu seni mempertahankan diri tersebut.
“Seni ini sangat sesuai untuk wanita kerana ia tidak bergantung sepenuhnya kepada tkekuatan,” katanya.
Tambahnya, kebanyakan peserta merupakan mereka yang terlibat dalam bidang penguatkuasaan undang-undang dan ketenteraan di negara masing-masing. – AFP
No comments
Post a Comment