SANDAKAN: Kertas kajian mengenai perubahan gaji penjawat awam yang sudah mencapai tangga gaji maksimum telah dikemukakan kepada kerajaan untuk pertimbangan Jawatankuasa Kabinet Gaji, kata Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa.
Beliau berkata, kajian itu dilakukan oleh pihaknya bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berikutan perkara itu merupakan antara masalah yang dihadapi dalam perkhidmatan awam di negara ini.
Katanya, penilaian telah dibuat terhadap kalangan penjawat awam yang sudah mencapai had atau tangga gaji maksimum dengan kebanyakan mereka ini mempunyai skor 80 hingga 85 ke atas dalam Laporan Penilaian Prestasi Tahunan.
"Ia menunjukkan penjawat awam itu telah melaksanakan tugas dengan cemerlang tetapi jika dilihat skim gaji, kita dapati ada yang terhenti dan sampai ke tahap maksimum," katanya dalam Program Temubual Bersama Radio Sandakan FM yang bersiaran pada Khamis.
Temu bual secara rakaman melalui telefon disiarkan pada 9.50 pagi bertajuk Perkhidmatan Awam Teras Kecemerlangan Sesebuah Negara.
Ketua Setiausaha Negara berkata, masalah gaji sudah capai had maksimum atau statik dalam kalangan penjawat awam perlu perubahan selari dengan perkembangan semasa yang menyebabkan kenaikan kos hidup dan inflasi di negara ini pada kadar satu setengah peratus yang turut dihadapi penjawat awam.
Katanya, kertas cadangan itu turut meliputi cadangan kenaikan dua hingga lima peratus untuk penjawat awam yang sudah capai had gaji maksimum.
Menurutnya, perkara itu sedang dibincangkan di peringkat Kabinet dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dijangka membuat pengumuman secepat yang boleh.
Beliau yakin kerajaan akan mengambil perhatian perkara itu selepas meluluskan kenaikan pencen sebanyak dua peratus setiap tahun bermula tahun ini kepada pesara kerajaan.
Ali berkata, pada Sesi Amanat Perdana Menteri kepada Perkhidmatan Awam pada11 Mac ini di Putrajaya, Perdana Menteri dijangka mengumumkan berita gembira kepada 1.4 juta penjawat awam di negara ini.
"Kita tunggu sahaja Perdana Menteri membuat pengumuman tidak lama lagi dan kalau ada insentif kita sama-sama tunggu.
"Tahun ini amat penting kerana kita perlu lihat kerajaan mengucapkan terima kasih kepada semua penjawat awam," katanya.
Katanya, untuk faedah jangka panjang, pihaknya kini meneliti mengenai 86 jenis elaun penjawat awam disebabkan ada antara elaun itu sudah lama belum dikaji semula seperti elaun perumahan.
"Kami sedang melihat dan mungkin ia akan mengambil masa lebih sikit kerana kena perlu melihat balik semua elaun dan juga akan ada implikasi kewangan yang lebih," katanya.
Pada akhir program itu, beliau meminta penjawat awam di seluruh negara meneruskan perjuangan mereka untuk membaiki perkhidmatan diberikan kepada rakyatdan hala tuju negara ke arah pencapaian negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.
Beliau berkata, penjawat awam mesti bersikap kreatif dan inovatif secara lebih proaktif dengan disertai sikap positif, peribadi yang mulia dan berintegriti.
Katanya, tugas sebagai penjawat awam adalah untuk menyampaikan perkhidmatan cemerlang kepada rakyat. - BERNAMA
No comments
Post a Comment