Kuala Lumpur- Dia masih muda, ‘bergetah’ dan bergaya, tetapi wanita berusia 23 tahun ini sanggup menjadi calon isteri pelakon radio popular 1970-an hingga 1980-an, Ibrahim Othman, 83, yang kini terlantar di Pusat Jagaan Al-Fikrah Malaysia (Fikrah), Sungai Sekamat, Kajang, dekat sini.
Bagi Shaliana Mohd Misnan, dia bukan mengejar harta dan wang, sebaliknya yakin mampu memenuhi kriteria calon isteri warga emas itu kerana pernah menguruskan arwah suaminya yang menderita akibat barah, beberapa tahun lalu.
Tambahan pula, jarak usianya dengan arwah suami hampir 30 tahun. Mereka berkahwin selama empat tahun.
Ibu tunggal yang mempunyai seorang anak ini berkata, pengalaman menjaga arwah suaminya yang sakit membentuk sifat penyabar biarpun jodoh mereka tidak panjang apabila arwah menghembuskan nafas terakhir di sisinya, dua tahun lalu.
“Saya tawarkan diri sebab ada pengalaman menjaga arwah suami dan yakin mampu menjaga Pak Berahim dari segi mental dan fizikal.
Sebelum ini Ibrahim pernah dipetik sebagai berkata;
“Kalau semua anak dah tak peduli lagi, pak cik nak cari calon isteri. Tak kiralah umur berapa, wanita tempatan atau Indonesia, asalkan dia benar-benar ikhlas nak jaga pak cik, cukuplah. Jika sanggup (berkahwin), pak cik akan wasiatkan semua harta, termasuk sebuah banglo di Taman Keramat, kepada bakal isteri.”
Itulah tawaran dibuat Ibrahim yang bercadang menamatkan zaman dudanya jika menemui calon isteri sesuai yang dapat menjaga makan minumnya.
Nilai tanah dan banglo berkenaan kini dianggarkan antara RM1.5 juta hingga RM1.8 juta.
Ibrahim, yang terkenal dengan watak Seman dalam Kebun Pak Awang, menjadi penghuni Pusat Jagaan Al-Fikrah Malaysia (Fikrah), Sungai Sekamat, di sini, sejak tiga bulan lalu, selepas menjalani rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana masalah saraf dan trauma.
BANGLO milik Ibrahim bernilai lebih RM1.8 juta di Taman Keramat, Kuala Lumpur.
Disebabkan tiada seorang pun daripada tujuh anak kandungnya datang menjemput selepas dia dibenarkan keluar dari wad, pengurusan hospital mengambil keputusan menghantarnya ke pusat jagaan itu selepas mendapat persetujuannya.
Ketika zaman mudanya, Ibrahim antara pelakon utama Kebun Pak Awang yang berjaya mengangkat populariti drama radio berunsur pembangunan terbitan RTM itu hingga mampu bersiaran selama sedekad. – Harian Metro
No comments
Post a Comment