SETELAH 30 tahun menjadi penghibur buat peminat muzik tempatan, boleh dikatakan tanggal 16 Februari ialah tarikh keramat buat penyanyi popular Anuar Zain.
Mana tidaknya, itu merupakan kali pertama pelantun lagu Sedetik Lebih ini membuat konsert berskala besar dan berlangsung dalam suasana yang cukup gah.
Ia dibuktikan dengan kehadiran peminat seramai 6,000 orang di konsert yang diberi nama Anuar Zain Tiga Dekad Muzik, Cinta dan Sanubari yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam.
Konsert yang mengambil masa selama lebih dua jam itu berlangsung penuh meriah dan lancar dengan persembahan yang ditampilkan Anuar sangat bertenaga dan luar biasa.
Ternyata masalah penukaran lokasi tidak sedikit pun menjejaskan persembahan jejaka yang digilai ramai wanita itu untuk memberikan persembahan yang terbaik dan berkualiti seperti yang dijanjikan olehnya.
Kehadiran Anuar yang tampil di atas pentas pada pukul 9 malam dengan berpakaian kot klasik segak bergaya. Ia ternyata membuatkan para peminat tidak kira lelaki mahupun wanita menjerit kerana teruja menantikan persembahan yang ditampilkan oleh Anuar Zain buat kali pertama.
“Terima kasih di atas kehadiran anda semua. Walau apapun terjadi, anda tetap dan masih bersama saya. Tanpa sokongan anda, saya tidak akan berada di sini dan berjaya mengadakan konsert ini,” tutur Anuar tidak putus-putus mengucapkan terima kasih kepada peminat yang hadir.
Kejutan demi kejutan diberikan kepada peminat di stadium. Kejutan pertama merupakan penampilan Nora Danish di atas pentas ketika mempersembahkan lagu terbaharunya, Ajari Aku.
Justeru usai lagu Ajari Aku, seperti yang dijanjikan kepada peminat sebelum ini, Anuar mempersembahkan pula klip video Sempurnakan Aku buat pertama kali di konsert tersebut yang juga merupakan kesinambungan daripada single Ajari Aku.
Apa yang menariknya, penampilan Nora Danish di atas pentas membuatkan peminat bersorak serta ada yang seperti terkena histeria sewaktu saat Anuar mencium tangan Nora sebelum dia beredar dari pentas.
Sepanjang perjalanan konsert berlangsung, Anuar sentiasa memberikan persembahan bertenaga dan alunan vokal yang sangat mantap membuatkan mereka yang mendengarnya pasti terbuai dengan persembahannya.
Selain itu, Anuar sentiasa menghargai peminatnya dengan kerap berkomunikasi dengan peminat membuatkan mereka berasa Anuar sentiasa dekat di hati mereka.
Sebanyak 19 buah lagu didendangkan oleh Anuar seperti Kain Pelikat, Bila Resah, Perpisahan, Ketulusan Hati, Sesucinya Cintamu serta banyak lagi lagu-lagu popularnya sepanjang tiga dekad menjadi anak seni.
Ketika menyampaikan lagu, Cinta Harus Memiliki sebuah lagi kejutan yang dibuat Anuar di mana dia membawakan tiga penyanyi wanita mengiringinya bersama iaitu Adibah Noor, Dina Nadzir serta Elvira Arul. Vokal mantap tiga wanita tersebut membuatkan peminat memberikan tepukan sambil berdiri setelah selesai menyanyi.
“Alhamdulillah, saya sangat berpuas hati dengan konsert sulung saya ini kerana ramai peminat sudi hadir menyokong saya. Walaupun ketiadaan penaja, kami berjaya memberikan persembahan yang berkualiti.
“Selepas 30 tahun menghadapi pelbagai kesukaran yang terpaksa saya tempuhi, akhirnya impian saya tercapai. Saya memberikan persembahan yang terbaik dan harap peminat terhibur dengan konsert ini,” tutur Anuar yang dilihat sebak ketika menceritakan semula memori penjalanan kariernya.
Tambahnya, selain peminat, dia juga sangat berterima kasih kepada rakan artis serta kaum keluarga dan ibu bapa khususnya kerana sentiasa memberi semangat kepadanya untuk menjadi penyanyi yang berjaya.
Setelah selesai menyampaikan sebanyak 18 buah lagu, ternyata peminat masih tidak mahu berganjak pulang dan meminta penyanyi kesayangan mereka itu menyambung persembahan.
Justeru, Anuar tampil semula di atas pentas dan menyampaikan lagu terakhir yang diminta oleh para peminat yang hadir iaitu Sedetik Lebih. Kepuasan jelas terserlah dan boleh dikatakan konsert ini dapat dilabel sebagai salah satu sejarah bagi artis tempatan kita.
No comments
Post a Comment