KUALA LUMPUR: Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen percaya dua ekor beruang panda gergasi yang dipinjamkan kepada Malaysia oleh China akan menjadi produk tarikan pelancongan utama negara ini.
Beliau berkata binatang berkenaan akan memberi tarikan besar kepada industri pelancongan terutama sekali bagi kempen 'Cuti-cuti Satu Malaysia' yang dijangka ramai yang akan datang untuk melihat kehidupan sebenar panda yang comel itu.
Rakyat Malaysia bakal melihat panda gergasi yang menjadi antara haiwan di dunia yang paling terancam di negara ini tidak lama lagi. |
"Kedua, saya menjangka kemasukan ramai pelancong dari negara-negara lain terutama Singapura dan Indonesia yang ingin melihat panda di Malaysia.
"Barisan menunggu adalah panjang, banyak negara seperti dari kalangan Asean mahukan panda, China sangat memilih pihak yang mereka mahu pinjamkan panda, dan saya percaya ini menunjukkan betapa bermaknanya hubungan baik yang terjalin di antara Malaysia dengan China dengan meminjamkan sepasang panda itu kepada kita," katanya.
Ng bercakap kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran 'Festival Minda Malaysia Kelapan' oleh Pergerakan Literasi Mental Malaysia (MMLM) di Kampus Utama Kolej Tunku Abdul Rahman (TARC) di sini, Sabtu. Mengenai urusan penjagaan panda berkenaan, menteri itu berkata ia akan dikendalikan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Sumber Asli dengan kerjasama pakar-pakar terpilih dari China.
"Ia bukan oleh badan bukan kerajaan (NG) dan tidak juga oleh Kementerian Pelancongan. Ia akan mendapat sokongan saintifik yang baik jika diberikan kepada kementerian berkenaan (Alam Sekitar dan Sumber Asli).
"Segala aspek mengenai penjagaan panda ini akan lebih selesa, tetapi juga berharap pasangan panda itu akan dapat melahirkan anak," katanya. "Adalah menjadi tanggungjawab sekiranya anak panda dilahirkan ia akan dijaga dengan baik. Bukan sahaja di sini tetapi di mana sahaja di dunia jika panda dipinjamkan, anak binatang tersebut mesti dihantar balik ke pusat pemeliharaannya di China," kata Ng.
Pada Khamis lepas, China telah mengambil keputusan meminjamkan dua ekor beruang panda kepada Malaysia sebagai usaha mengukuhkan lagi hubungan diplomatik selama 38 tahun antara kedua-dua buah negara.
Permohonan memindah pinjam binatang berkenaan dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kepada rakan sejawatannya dari China, Wen Jiabao semasa kunjungan Najib ke Nanning pada bulan April.
Mengenai festival tersebut, Ng berkata ia menolong mengwujudkan bakat terutama di kalangan golongan muda ke arah kreativiti dan sikap inovasi.
Sementara itu, di LENGGONG, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata Taman Wetland, Putrajaya, dipilih sebagai lokasi untuk menempatkan pasangan panda berkenaan.
Bercakap kepada pemberita selepas program gotong royong komuniti 1Malaysia bersama peserta Program Latihan Khidmat Negara, di Kampung Sauk, beliau berkata Taman Wetland adalah tempat paling sesuai selain ia mudah dilawati orang ramai.
Semalam, kerajaan Malaysia memeterai perjanjian dengan Persatuan Pemeliharaan Hidupan Liar China (CWCA) untuk meminjamkan panda gergasi itu kepada Malaysia selama 10 tahun. -BERNAMA
No comments
Post a Comment