Port Dickson: Seorang pelajar tingkatan dua terpaksa dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), di sini, selepas tidak berhenti muntah dipercayai minum kopi bercampur racun di rumahnya di Kampung Sendayan, dekat sini, petang semalam.
Remaja berkenaan, G Thiyaggurudeen, 14, dipercayai berbuat demikian akibat tekanan perasaan ketika berseorangan di rumahnya.
Bapanya S Ganesan, 52, berkata, ketika kejadian dia tiada di rumah dan hanya mengetahui perkara itu selepas dihubungi oleh seorang lagi anak berusia sembilan tahun.
Katanya, dia difahamkan, pagi semalam Thiyaggurudeen asyik duduk di luar rumah dan tidak mengendahkan nasihat abangnya agar masuk ke rumah.
"Kira-kira 1 petang abangnya menyuruh dia masuk untuk makan, namun Thiyaggurudeen hanya makan sedikit kerana tidak berselera.
"Tidak lama lepas tu, abangnya keluar untuk ambil adiknya di sekolah dan mungkin ketika itulah dia minum racun itu," katanya ketika ditemui petang tadi.
Menurutnya, Thiyaggurudeen sendiri mengaku minum racun yang dicampur dengan kopi kepada adiknya.
“Sebaik dihubungi anak 2.20 petang, saya yang berada di Rantau bergegas pulang ke rumah dan membawanya ke HTJ untuk rawatan.
"Keadaannya memang lemah, namun kira-kira 7 malam dia beransur pulih dan sudah boleh bercakap. Dia beritahu berasa tertekan menyebabkannya minum racun," katanya.
Ganesan berkata, anaknya sudah hampir sebulan tidak ke sekolah atas beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan.
"Sejak tidak bersekolah anak jadi pendiam, murung dan selalu bersendirian sedangkan dulu dia seorang yang aktif. Saya amat terkejut dan tidak sangka dia sanggup bertindak begitu," katanya.
Hmetro Online
No comments
Post a Comment