Gambar Hiasan: Tanjung Aru, Sandakan |
SANDAKAN: Mayat seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) ditemui dalam keadaan tertiarap di pesisir pantai Tanjung Aru di sini awal hari ini, kata pemangku Ketua Polis Daerah Sandakan, Supt Fadzil Mohd Ali.
Beliau berkata, mangsa dikenali sebagai Koperal Hasmadi Hasnan, 32, anggota di Pos Kawalan PGA Tanjung Pasir di sini. Mayatnya ditemui penduduk kampung jam 5 pagi setelah dilaporkan hilang sejak semalam.
Katanya, kehilangan mangsa disedari selepas isterinya, berusia 29 tahun datang ke pos kawalan PGA Tanjung Pasir semalam, untuk memastikan suaminya berada di situ selepas keluar dari rumah untuk balik ke pos kawalan itu Selasa lepas pada jam 2 petang.
Menurut beliau, penduduk kampung menemui bot yang dipercayai dinaiki Hasmadi berada dalam keadaan bocor dan tidak ada enjin, berserta kelengkapan lain seperti kasut, tangki minyak dan air di kawasan perairan Tanjung Aru pada 1.30 tengah hari, semalam.
"Laporan yang diterima menunjukkan Isnin lepas, mangsa balik ke rumahnya di Tanjung Aru dari pos kawalan PGA Tanjung Pasir dan dihantar dengan menaiki sebuah bot oleh rakan setugasnya serta memaklumkan akan kembali bertugas semula pada esoknya (Selasa)," katanya di sini.
Fadzil berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut tetapi siasatan dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian mangsa.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Duchess Of Kent Sandakan dan diserahkan kepada anggota keluarga untuk urusan pengebumian di Tanjung Aru.
Hasmadi yang berasal dari Perak meninggalkan isteri dan seorang anak lelaki berusia tiga tahun.
- BERNAMA
No comments
Post a Comment