Bekas model Playboy terkenal, Felixia Yeap berasa kecewa dan kesal apabila gambar-gambar seksi lamanya kembali menjadi tumpuan ramai dengan komen lucah dan negatif.
Berikutan itu, Felixia telah mengambil keputusan untuk memadam kesemua gambar-gambar tersebut. "Siapa saya untuk menyuruh mereka berhenti daripada terus mencemuh dan memberi komen lucah pada gambar milik saya di Facebook, justeru saya mengambil keputusan untuk memadam semua gambar seksi itu.
"Saya juga perlu mendapatkan bantuan pembantu peribadi bagi melakukan tugas terbabit dan menjangkakan semuanya dapat dipadam sebelum Ramadan ini," katanya kepada sebuah akhbar tempatan.
Tambah model berusia 28 tahun itu lagi, dia turut berasa sedih apabila komen berbaur lucah yang ditulis telah mengundang persepsi negatif kepada dirinya.
"Apa yang mereka komen pada gambar lama itu mengenai masa silam saya sebelum berhijab. Saya rasa golongan yang memberikan komen lucah ini merasakan diri mereka sangat baik dan lebih berkuasa daripada tuhan serta tidak pernah terlepas daripada melakukan kesilapan."
Dalam pada itu, Felixia berharap individu yang berbuat demikian supaya berhenti dari menulis komen-komen berunsur negatif kerana ia sedikit sebanyak menyebabkan emosinya terganggu.
"Saya Cuma boleh menyedarkan mereka apa yang mereka buat itu keterlaluan dan tidak sepatutnya dilakukan kepada saya yang kini sedang mendalami Islam." - Yahoo
No comments
Post a Comment