PETALING JAYA – Pelakon Tasha Shilla tertekan dengan komen negatif berunsur hinaan yang dilemparkan pengikut-pengikut laman sosialnya terhadap hubungan dia dengan kekasihnya,Han Chen Wong.
Tasha atau nama sebenarnya Natashasheila Abd Razak, 27, berkata, peminat tidak wajar menjatuhkan hukuman atau mengawal segala tindak-tanduknya melalui gambar-gambar yang dikongsi di laman sosial Instagram miliknya.
“Saya memang tertekan dengan komen-komen negatif mereka, ramai diantara mereka terpaksa saya block kerana bersikap kurang ajar.
“Saya tidak perlu untuk jaga hati peminat, mereka sepatutnya memahami dan bukan mengawal hubungan saya. Cukuplah keluarga saya merestui hubungan kami,” ujarnya kepada mStar Online.
Tasha berkata demikian ketika ditanya tentang kritikan dan komen negatif yang sering dilemparkan oleh pengikut-pengikut laman sosial Instagram setiap kali dia memuat naik gambar bersama kekasihnya.
Tasha turut memberi amaran kepada peminat yang berniat untuk menghina atau memberi komen negatif terhadapnya tidak perlu menjadi pengikutnya di laman sosial berkenaan.
Sementara itu, Tasha yang merancang untuk berkahwin pada tahun hadapan mengakui, sedang di peringkat memahami dunia masing-masing.
Dia akui, kekasihnya yang juga peninju Muay Thai itu sedang membiasakan diri dengan kehidupan dalam dunia selebriti.
“Pada awalnya dia agak rimas juga dengan perhatian orang terhadapnya. Saya pula cuba masuk dengan dunia Muay Thai dia, sementara dia belajar memahami dunia saya,” katanya.
No comments
Post a Comment