PETALING JAYA : Seorang duda yang pernah dijatuhi hukuman penjara 10 tahun kerana kesalahan merogol, sekali lagi diarah membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan merogol anak teman wanitanya, tahun lalu.
Hakim Hayatul Akmal membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan terhadap Hamdan Ahadluddin, 53.
Hayatul dalam penghakimannya, berkata keputusan itu dibuat selepas mendapati keterangan saksi boleh dipercayai serta disokong oleh rekod perubatan.
Tertuduh, yang kini bekerja sebagai penghantar makanan segera, memilih memberi keterangan secara bersumpah dari kandang tertuduh dan mahkamah menetapkan perbicaraan Selasa depan.
Hamdan dituduh merogol mangsa berusia lima tahun, di sebuah rumah di Lembah Subang, antara Mei 2013 dan didakwa mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum 30 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aishah Ahmad Zakiuddin, manakala peguam Farhan Read dan P G Cyril mewakili tertuduh.-BH
No comments
Post a Comment