MAK MANDIN – Gara-gara tidak dapat mengawal nafsu terhadap wanita yang diminati, seorang warga Bangladesh melepaskan geram dengan menggigit bibir mangsa hingga berdarah dalam satu kejadianmencabul awal pagi, kelmarin.
Namun, Muhiduzzan Moshed, 22, ditahan selepas mangsa membuat laporan polis.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioener Zulkifli Alias yang dihubungi berkata, mangsa seorang kerani pengeluarandan bertugas berseorangan di dalam pejabat ketika kejadian itu berlaku.
“Sekitar jam 12.08 pagi kelmarin, suspek memasuki pejabat kilang berkenaan dan menyerahkan borang pengeluaran untuk disemak oleh mangsa. Tiba-tiba suspek bertindak memegang tangan mangsa membuatkan dia terkejut,” katanya.
Zulkifli berkata, suspek kemudiannya menarik tangan mangsa dan memeluknya dari belakang dan dalam masa sama, bertindak agresif cuba mencium mulutnya.
“Mangsa dikatakan cuba menolak suspek dan memaklumkan bibirnya terdapat ulser, namun suspek tidak menghiraukan sebaliknya terus bertindak rakus. Disebabkan terlalu ghairah, suspek dikatakan menggigit bibir mangsa hinggaberdarah. Selepas kejadian itu, mangsa membuat laporan kepada penyelianya sebelum membuat laporan di Balai Polis Mak Mandin kemudiannya,” katanya.
Selepas kejadian, mangsa dibawa mendapatkan rawatan di sebuah hospital, kerana mengalami pendarahan yang agak teruk di bahagian bibir.
Zulkifli berkata, suspek dikatakan meminati kerani pengeluaran wanita itu sejak mula masuk bekerja di kilang itu hampir dua tahun lalu, namun mangsa tidak pernah memberi sebarang reaksi.
Mangsa yang ditemui bagaimanapun enggan mendedahkan identiti dan membenarkan kesan kecederaan di bibirnya dirakam, kerana malu dengan kejadian itu.
Suspek ditahan pagi semalam di tempat kerjanya sebelum direman selama 14 hari untuk disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.
No comments
Post a Comment