Sungai Petani: Tiga penjenayah warga Indonesia yang terbabit dalam kegiatan samun bersenjata ditembak mati selepas berbalas tembakan dengan sepasukan anggota polis dalam Ops Cantas Khas di persimpangan masuk ke Jalan Kongsi 14, Ladang Kuala Muda, Jalan Kuala Ketil, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi, sepasukan anggota Bahagian Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah mengejar sebuah kereta jenis Proton Perdana yang dinaiki tiga penjenayah terbabit.
Sebelum kejadian itu, sepasukan sembilan anggota Ops Cantas Khas yang diketuai Asisten Superintendan Toh Eng San membuat pemantauan khusus di sekitar daerah ini, Baling dan Kulim dan ketika itu sedang membuat rondaan di Jalan Kuala Ketil, di sini.
Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata, tiga penjenayah itu dikesan anggota Ops Cantas Khas yang membuat rondaan dari Jalan Kuala Ketil ke Sungai Petani dalam keadaan mencurigakan.
Beliau berkata, sebaik tiba di persimpangan masuk Jalan Bukit Selambau, pasukan itu terserempak dengan sebuah kereta Proton Perdana V6 berwarna perak yang menggunakan nombor pendaftaran KB 351 dalam keadaan mencurigakan.
No comments
Post a Comment