Select Menu

Isu Semasa

Hiburan

Global

Pelancongan

Performance

Pelbagai

Misteri Sejarah

Informasi

» » Sejarah Pekan Kajang, Gambar Dulu Dan Sekarang
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post



Kajang dan kawasan sekitarnya merupakan sebuah mukim yang terletak di dalam Daerah Hulu Langat di negeri Selangor. Ia terletak lebih kurang 14 batu di sebelah Tenggara Kuala Lumpur. Dari Kuala Lumpur, Kajang dihubungi melalui jalan raya dan jalan keretapi. Kajang juga dapat dihubungkan dengan Putrajaya, Pusat Pentadbiran Negara dan Cyber Jaya Bandar Multimedia negara. Di sebelah Baratnya pula terletak bandar Puchong, Batu 3 dan Klang. Pada dasarnya Kajang terdiri dari beberapa penempatan Melayu, China dan India.

Kawasan perkampungan rata-rata didiami oleh orang-orang Melayu. Orang-orang China tinggal secara berselerak di sekitar bandar Kajang. Manakala kawasan-kawasan ladang getah didiami oleh orang-orang berketurunan India. Para yang lain dilihat dari susut topografinya pula, mukim Kajang adakah terletak di kawasan tanah tinggi iaitu lebih kurang 76,250sm dari paras laut. Kebanyakan pemukaan buminya adalah berbukit bukau dan dipenuhi oleh gunung. Tanah datarnya terdapat di kawasan-kawasan lembangan sungai seperti Sungai Langat, Sungai Bangi, Sungai Semenyih dan Sungai Chua. kawasan-kawasan inilah yang merupakan tempat-tempat awal yang mula diterokai untuk penempatan di mukim Kajang.



Masyarakat Melayu Tradisional gemar meneroka tempat kediaman di lembah-lembah sungai iaitu di lembangan-lembangan. Terutamanya di lembah-lembah Sungai Bernam, Sungai Selangor, Sungai Klang, Sungai Langat dan Sungai Lukut. Sebenarnya pengertian Selangor bermakna Tanah Lembangan Lima Bintang Sungai-sungai tersebut. Pada waktu itu sungai menjadi jalan perhubungan untuk keluar masuk bagi satu-satu kawasan penempatan. Lembah-lembah sungai ini sangat subur untuk bercucuk tanam dan ia sesuai dengan petani-petani yang bergantung hidup kepada tanah. Mereka juga menjalankan aktiviti menangkap ikan.



Kewujudan pekan Kajang juga bertitik tolak daripada faktor-faktor ini. Terdapat beberapa cerita lisan berkenaan dengan penerokaan awal pekan Kajang dan kawasan sekitarnya. Menurut orang-orang tua Kajang dan kawasan sekitarnya sebelum didatangi peneroka-peneroka dari luar adalah merupakan kawasan kediaman orang-orang asli dari Suku Temuan. Menurut seorang pengkaji sejarah tempatan En. Shahabudin Ahmad, Kajang telah diterokai pada tahun 1709 oleh orang-orang Asli yang berpusat di Klang. Pada waktu itu klang diperintah oleh orang-orang Asli yang ketuanya dipanggil Batin Seri Alam. Ketua ini mentadbir di Klang kerana ketika itu hutan ini adalah pusat pentadbiran bagi orang-orang asli. Klang mempunyai jajahannya yang tersendiri yang ditadbirkan oleh 3 orang anak kepad Batin Seri Alam.



Jajahan-jajahan tersebut ialah Johor yang ditadbirkan oleh Datuk Nenek Kerbau, Jelebu pula diperintah oleh Datuk Jelondang dan Sungai Ujung yang diperintah oleh Batin Bercanggai Besi. Mengikut cerita dogeng Batin Bercanggai Besi mempunyai seorang anak angkat perempuan bernama Puteri Mayang Selinda yang mempunyai paras yang sangat cantik. Apabila Sultan Johor mengetahui akan Puteri ini baginda pun memerintahkan agar Puteri itu dipersembahkan kepadanya. Memang telah menjadi adat ketika itu apa-apa saja yang dikehendaki oleh Sultan akan dituruti. Berikutan dengan itu satu rombongan telah diadakan untuk menghantar Puteri Mayang Selinda ke Johor.



Setelah selesai upacara penyerahan puteri tersebut kepada Sultan Johor, rombongan itu telah kembali semula ke Klang. Sultan Johor telah memberikan banyak hadiah kepada mereka termasuk pakaian dan lembing. Mereka pulang dengan menaiki sampan melalui Sungai Langat.

Setelah dua hari perjalanan mereka sampai di tempat sekitar keretapi Kajang yang ada sekarang. Disebabkan hari sudah malam, mereka bermalam dan bercadang untuk berkampung di situ. Ini disebabkan mereka mendapati kawasan itu sesuai untuk dijadikan kawasan penempatan. Mereka mendirikan 'kajang' iaitu pondok-pondok yang beratapkan daun mengkuang hutan. Justeru kerana itu, tempat itu dinamakan Kajang iaitu 'Kajang' yang didirikan.



Ada juga sumber-sumber lain yang menerangkan asal kejadian Kajang. Sumber tersebut menyatakan bahawa suatu ketika dulu terdapat dua orang sahabat menaiki sampan melalui Sungai Langat untuk pergi ke Pekan Reko. Mereka adalah terdiri dari seorang Melayu dan seorang Asli yang mendiami kawasan Reko. Apabila sampai ke Kajang, ( ketika itu belum bernama kajang ), hujan turun dengan lebatnya. Orang Melayu mengajak rakannya ' berkajang ' di situ. Menurut cerita itu ' berkajang ' bagi orang Melayu ialah berteduh, tetapi orang Asli tersebut memahami ' berkajang ' itu sebagai bertikam. Disebabkan salah faham akan maksud rakannya itu maka orang Asli terus menikam rakannya. Dengan perisiwa bertikam itu maka tempat itu dinamakan Kajang.



Terdapat satu cerita yang lain telah menafikan cerita tersebut. Dikisahkan Kajang telah diterokai oleh orang-orang Klang yang lari menyelamatkan diri semasa berlaku perang saudara di Selangor. Menurut cerita ini mereka yang melarikan diri dari peperangan tersebut telah mendaki Sungai Langat hingga ke Kuala Jeluk iaitu dibelakang panggung wayang ' Sun' yang ada sekarang. Mereka berhenti di situ dan mendapati kawasan itu sesuai untuk dijadikan tempat kediaman. Mereka mendirikan pondok-pondok sesuai dan atapnya dibuat dari daun mengkuang berbetuk seperti bumbung kereta lembu Melaka yang mereka namakan ' Kajang '. Mereka kemudiannya berkampung di situ dan menamakan tempat itu Kajang. Tetapi dalam cerita tersebut terdapat pula peristiwa yang lain membolehkan Kajang mendapat nama. Mengikut ceritanya, apabila hari senja orang-orang pelarian itu telah sampai ke satu tempat. Seorang ketua bagi orang-orang Mandailing telah melaungkan kepada orang-orangnya dengan berkata ' berkajang ' kita di sini. Perkataan ini telah disalah fahamkan oleh beberapa orang pengikutnya yang berketurunan Bugis. Mereka menganggap perkataan berkajang itu bermakna bertikam. Peristiwa itu hampir-hampir menumpahkan darah. Dari sinilah timbulnya perkataan Kajang dan tempat itupun di namakan Kajang.



Selain dari sumber-sumber lisan, terdapat juga sumber-sumber bertulis yang cuba menerangkan pembukaan Kajang. Terdapat fakta yang menyebut bahawa Kajang telah dibuka oleh ayah kepada Raja Alang iaitu Raja Berayun. Raja Berayun ialah seorang anak raja yang melarikan diri ke Selangor dari peperangan saudara di Sumatera. Di negeri Selangor beliau telah bersahabat baik dengan Sultan Abdul Samad. Raja Berayun kemudiannya telah membuka Kajang dan memerintah daerah Kajang dengan gelaran Tengku Panglima Besar.

Dalam versi yang lain pula, terdapat satu laporan dari penghulu Yahya yang menjadi penghulu di Kajang dan Cheras pada tahun 1891 mengatakan Kajang telah dibuka oleh En. Lili dari Piau kira-kira dalam tahun 1776. Dalam laporannya kepada Pegawai Daerah Ulu Langat, ia seterusnya mengatakan :

"......Sultan Muhammad beri dia ( Encik Lili ) kuasa mmebuka tanah di Hulu Langat dari Sungai Sabak Dua ke hulu bersempadan dengan Dato' Langat, dihilir bersempadan dengan Dato' Ali. Encik Lili dengan enam orang rakannya telah berpindah ke bukit Kuala Sungai Merbau yang kemudiannya menamakannya Kajang dan Lili telah dilantik oleh Sultan Muhammad menjadi Dato' Bandar Kajang. Beliau telah diberikan kuasa memerintah kawasan daripada Sabak Dua hingga ke hilir Sungai Subang Hilang. Sultan juga telah membenarkan LIli untuk membuka lombong di Kuala Sungai Merbau. "



Didapati cerita-cerita seperti yang telah dipaparkan di atas tidak dapat ditentukan kebenarannya dari fakta sejarah. Umpamanya pembukaan kawasan Kajang pada abad ke-19 oleh orang-orang Klang yang lari untuk menyelamatkan diri dari perang saudara di Selangor itu adalah tidak begitu tepat. ini kerana penulis merasakan bahawa Kajang telah diterokai lebih awal dari situ. Ini berdasarkan kepada kenyataan bahawa orang-orang Melayu Sumatera telah pun mendiami Kajang ketika perang tersebut berlaku. Mereka yang ketika itu di bawah kuasa dan pengaruh Sultan Puasa telah menyebelahi dan membantu Raja Mahadi untuk mengadakan pemberontakan di Selangor. Lebih dari itu pekan Kajang pernah dijadikan pengkalan untuk pengikut-pengikut Raja Mahadi yang diketuai oleh seorang Mandailing bernama Raja Asal.

Walaupun terdapat fakta sejarah yang mengatakan penempatan di daerah Hulu Langat ( termasuk Kajang ) berlaku pada akhir perang saudara di Selangor iaitu pada 1874 hingga 1920 tetapi terdapat juga kawasan-kawasan di daerah tersebut yang lebih awal diterokai. Terdapat beberapa mukim daerah Hulu Langat yang dibuka lebih awal lagi. Contohnya Cheras, Semenyih dan Beranang dibuka kira-kira pada tahun 1870. Dengan itu, berkemungkinan kawasan Kajang telah dibuka lebih awal dari tarikh itu adalah tidak dapat diperkecilkan.

Perkataan Kajang lahir daripada beberapa sumber berikut :

PENDAPAT PERTAMA :Adalah dipercayai Kajang telah diterokai oleh orang-orang suku Temuan kira-kira tahun 1580 lagi. Suku inilah yang memberi nama Kajang berdasarkan sejenis mengkuang hutan yang digunakan untuk membuat atap yang tumbuh dengan banyaknya di kawasan itu.

PENDAPAT KEDUA :Batin Berenggai Besi merupakan seorang pembesar di Sungai Ujong. Pernah mendirikan pondok-pondok di pinggir sungai yang terletak di kawasan Kajang sekarang dengan menggunakan atap mengkuang. Kemudian, beliau berkesimpulan tempat ini sesuai untuk dijadikan penempatan. Sempena bentuk atap mengkuang lipat kajang pondok yang didirikan itulah lahirnya nama Kajang.

PENDAPAT KETIGA :Menurut satu riwayat, maksud perkataan ' berkajang ' bagi orang Mendailing berpondok. Manakala bagi orang Bugis ' bertikam atau bergaduh '. Kedua-dua puak ini pernah bertikaman di salah sebuah kawasan bukit berhadapan stesen keretapi yang ada sekarang, kerana salah faham maksud perkataan ' berkajang '. Peristiwa ini berlaku semasa kedua-dua golongan ini menghulu Sg. Langat kerana melarikan diri dari perang saudar yang berlaku di Kelang di antara tahun 1867 hingga 1873. Setelah peristiwa tersebut tempat ini diberi nama Kajang

PENDAPAT KEEMPAT :Ada sumber lain mengatakan Kajang telah dibuka oleh Encik Lili juga dikenali sebagai Toh Lili yang datang dari Riau pada tahun 1776. Beliau adalah pengikut Sultan Mohamed Shah Ibni Al-Marhum Sultan Ibrahim Shah yang berasal dari Riau. Dengan kebenaran Sultan, beliau bersama enam orang rakan telah membuka tanah untuk penamaan padi di Bukit Sg. Merbau dan membuka lombong @ Sungai Merbau yang kini dikenali sebagai KAJANG.

PENDAPAT KELIMA :Raja Alang dari suku Mandailing bersama sekumpulan pengikutnya datang ke Tanah Melayu pada awal tahun 1800. Kumpulan ini belayar memasuki Tanah Melayu melalui Kuala Sungai Langat. Setelah beberapa hari berlayar, mereka berteduh atau 'berkajang' disuatu kawasan yang sekarang ini dipanggil Jalan Mandailing. Sebahagian pengikut-pengikut Raja Alam telah menerokai kawasan Kampung Batu 14 sekarang dengan penanaman padi. Penempatan mereka ini akhirnya dimasyhurkan dengan nama Kajang oleh Raja Alam..



Sumber : MPKj

About Unknown

PERINGATAN: Blogbahni tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments