KAMPAR : Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut apabila mangsa ‘terbang’ sejauh hampir 30 meter sebelum tubuhnya terperosok di dalam longkang sejurus merempuh sebuah kereta di Kilometer 4, Jalan Gopeng-Batu Gajah, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 10.15 malam, mangsa yang berusia 25 tahun dikatakan tidak sempat mengelak sebuah kereta yang membuat pusingan U lalu merempuh pintu kiri kenderaan itu.
Ketua Polis Daerah Kampar Superintendan Ng Kong Soon berkata, siasatan mendapati mangsa Mohd Zohir Saadan dari Kampung Sungai Tirah Parit menaiki motosikal berkuasa tinggi model Kawasaki Ninja ZX.
Menurutnya, seorang wanita berusia 37 tahun yang memandu PROTON Saga dikatakan membuat pusingan U dari arah bertentangan menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak.
“Rempuhan kuat itu menyebabkan mangsa yang dalam perjalanan menuju ke Batu Gajah tercampak sejauh lebih 30 meter melepas kereta berkenaan.
“Mangsa terjatuh ke dalam longkang kecil dan meninggal dunia akibat parah dialami di kepala,” katanya.
Menurutnya, pemandu kereta berasal dari Kampung Kepayang, Ipoh, itu hanya mengalami kecederaan ringan.
“Siasatan mendapati kemalangan berlaku di jalan lurus dan polis masih menyiasat kemungkinan insiden berpunca dari faktor kecuaian.
“Pemandu wanita terbabit ditahan dan dibawa ke IPD Kampar untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Sementara itu, salah seorang saksi kejadian, Ikram Mod Noor, 34, berkata, kemalangan itu disifatkan ngeri apabila mangsa tercampak begitu jauh sebelum terhempas ke dalam longkang.
Dia yang kebetulan melalui lokasi kejadian mendapati mangsa maut serta -merta di lokasi itu akibat kesan hentakan kuat di kepala.
“Pemandu kereta yang terbabit dalam kemalangan itu didapati dalam keadaan terkejut dan trauma.
Motosikal berkuasa tinggi yang merempuh kereta itu hampir berkecai akibat rempuhan kuat itu,” katanya.-HM
No comments
Post a Comment