BATU MAUNG - Sebanyak 487,416 buah kenderaan telah melalui jambatan kedua Pulau Pinang yang kini dikenali sebagai Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah pada hari pertama ia dibuka kelmarin.
Jumlah itu mengalahkan bilangan kenderaan yang menggunakan jambatan pertama iaitu Jambatan Pulau Pinang pada hari yang sama selepas hanya merekodkan sebanyak 132,000 buah kenderaan.
Penolong Pengurus Perhubungan Awam dan Komunikasi Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB), Azizi Azizan memberitahu, antara faktor penyumbang kepada angka yang begitu tinggi itu ialah kerana orang ramai begitu teruja untuk melalui jambatan tersebut pada hari pertama ia dibuka.
"Kita mencatatkan purata sebanyak 20,309 buah kenderaan yang telah melalui jambatan tersebut pada setiap jam pada hari pertama ia dibuka.
"Pengguna begitu teruja untuk menjadi orang terawal melalui jambatan bersejarah itu sehingga menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 1 Mac lalu yang mencatatkan rekod sebagai jambatan terpanjang di Asia Tenggara.
Mengulas lanjut tentang kesesakan teruk yang berlaku di atas jambatan tersebut, Azizi menjelaskan, situasi itu berlaku akibat pengguna yang memberhentikan kenderaan di tengah jambatan.
Kosmo
No comments
Post a Comment