Alor Setar: Demi mengelakkan isterinya ditahan, seorang lelaki
Myanmar sanggup menipu dengan mendakwa tinggal sendirian apabila pihak
berkuasa menyerbu sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Belakang
Masjid Intan Syafinaz, Anak Bukit, dekat sini, semalam.
Dalam serbuan pada jam 3 pagi, lelaki berusia 30-an itu dipercayai
menyembunyikan isterinya di dalam bilik air sebelum wanita terbabit
berjaya meloloskan diri menerusi pintu belakang ketika anggota Jabatan
Imigresen Kedah membuat pemeriksaan di sekitar kawasan berkenaan.
Walaupun wanita itu berjaya melarikan diri, namun suaminya ditahan bersama 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) lain berusia 19 hingga 40 tahun dalam Ops 6P selama lima jam bermula jam 12 tengah malam di sekitar daerah itu, Pendang dan Yan.
Ketua Bahagian Penguat kuasanya Nar Azaman Ibrahim berkata, pemeriksaan dilakukan ke atas 38 warga asing terdiri warga Indonesia, Bangladesh, Pakistan dan Myanmar di tiga lokasi berkenaan.
Katanya, daripada jumlah berkenaan 14 daripadanya didapati melakukan pelbagai kesalahan imigresen.
Menurutnya, mereka membabitkan 12 lelaki dan seorang wanita warga Myanmar yang dikesan tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Dalam serbuan itu, kami turut menahan seorang lelaki warga
Bangladesh kerana menetap lebih masa dalam negara dan disiasat mengikut
Seksyen 15(1)(c) akta sama,” katanya.
Sementara itu, dalam operasi berasingan kira-kira jam 9 pagi kelmarin, empat lelaki warga Bangladesh berusia antara 30 hingga 36 tahun ditahan kerana melanggar syarat pas diberikan di sebuah premis perniagaan di Sungai Petani, di sini.
Menurutnya, mereka ditahan di bawah Peraturan 39(b)
Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan sabit kesalahan boleh dikenakan
hukuman denda RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Semua PATI berkenaan akan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Juru di Pulau Pinang atau Langkap di Perak untuk siasatan lanjut.
No comments
Post a Comment