Seorang saksi, Hasliana Mohamed, 33, berkata, dia terlihat kepulan angin seakan puting beliung ketika keluar dari pejabat kira-kira jam 4.40 petang.
“Saya ternampak pusaran awan diikuti angin. Tanpa berlengah saya terus masuk ke dalam kereta dan pulang ke rumah.
"Saya juga bimbang jika ia mendatangkan sesuatu yang buruk kerana ia berdekatan laut,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Manakala, Mohd Aqil Mohd Faiz, 17, menyedari kejadian itu buat pertama kalinya ketika melalui Pantai Lido.
“Kira-kira jam 4 petang, saya ternampak pusaran angin dan ia berwarna gelap.
“Saya memberhentikan kenderaan dan merakamkan beberapa gambar dan terus bergerak kerana risau jika ia puting beliung,” katanya.
Dalam kejadian itu, orang ramai berjaya merakamkan fenomena berkenaan dan ada antaranya memuat turun ke laman sosial di internet, sehingga menarik perhatian ramai.
Tidak kurang juga, ada di antaranya terkeliru dengan fenomena itu apabila ada yang beranggapan belalai air itu adalah puting beliung.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Meteorologi berkata, kejadian tersebut dipanggil belalai air dan ia selalunya berlaku di permukaan air.
“Ia kejadian lazim apabila hendak hujan kerana kedudukan tengah laut angin bertembung mewujudkan belalai air. Ia kejadian biasa di Johor.
“Belalai air ini bukan puting beliung. Ia tidak menyebabkan angin kencang dan akan lenyap tidak seperti puting beliung. Malah kita tidak dapat kesan angin tersebut menerusi satelit,” katanya.
No comments
Post a Comment