SHAH ALAM – Seorang wanita yang hanya
mahu dikenali sebagai Ze Aida menyatakan permintaan maaf secara terbuka,
semalam setelah didakwa menyebarkan fitnah melalui laman sosial
Facebook terhadap Restoran Nasi Vanggey, Greentown.
Ze Aida, 24 akui tidak berniat untuk menghina atau memburuk-burukkan restoran tersebut.
Dalam status Facebooknya, Ze Aida
menyebut bahawa pihak polis menemui najis manusia dalam peti simpanan
makanan restoran tersebut.
“Saya tiada niat untuk menghina
restoran ini dan kontroversi itu berlaku apabila saya menyalin status
yang telah ditulis oleh seorang individu di Facebook miliknya mengenai
keburukan restoran itu.
“Status Facebook saya hanya
boleh dibaca oleh sebilangan kecil individu sahaja tetapi ada pihak yang
tidak bertanggungjawab telah ‘print screen’ status saya itu lalu
menyebar luaskan,” katanya kepada pemberita pada satu sidang media khas,
malam tadi.
Turut hadir pada sidang media tersebut, pengurus restoran, Ahmad Fazli Mohammed dan pengarahnya, Azlan Shah Saiful Jaafar Sadik.
Menurut Ze Aida, laporan polis sudah dibuat Khamis lalu di Balai Polis Sungai Senam.
Sementara, Ahmad Fazli berharap
penjelasan dan pengakuan Ze Aida itu akan dapat mengembalikan semula
keyakinan orang ramai terhadap restoran mereka.
Restoran itu diarah tutup selama dua minggu sehingga 28 November ini kerana gagal mematuhi tahap kebersihan yang ditetapkan.
Notis perintah tutup premis yang dikeluarkan Penolong Pegawai
Kesihatan Persekitaran Pejabat Kesihatan Daerah Kinta Abdul Rahman
Ismail, dibuat mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983. – Sinar Harian Online
No comments
Post a Comment