SHAH ALAM: Pelakon Nad Zainal menafikan dia dan kekasihnya,
aktor Azman Kombos telah putus cinta seperti mana dilaporkan oleh sebuah
akhbar baru-baru ini.
Nad atau nama sebenarnya Nadia Zainal, 23, berkata, hubungan mereka
masih berjalan seperti biasa dan memberitahu tidak pernah timbul
sebarang masalah dalam percintaan mereka.
"Sejujurnya saya tidak pasti bagaimana cerita berkenaan boleh timbul
kerana hubungan kami masih berjalan seperti biasa dan bukannya seperti
dilaporkan.
"Malah saya sendiri tidak mengetahui berita berkenaan dikeluarkan
sehingga ada kenalan yang memberitahu saya," katanya kepada mStar Online
ketika ditemui pada majlis Debaran Anugerah Skrin 2013 yang diadakan di
Plaza Alam Sentral di sini, malam Jumaat lalu.
Pada acara yang mengumumkan lima pencalonan terbaik bagi 30 kategori dipertandingakan, Nad tercalon dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik menerusi drama Mawar Pitih Tanda Perpisahan arahan Bade Azmi.
Dalam perkembangan berkaitan, Nad berkata, cerita berkenaan timbul
mungkin disebabkan dia tidak lagi memuat naik gambar bersama kekasihnya
di laman Instagram seperti sebelum ini.
Jelas Nad, selepas ditimpa beberapa kontroversi sebelum ini, dia
memilih untuk bersikap 'low profile' tentang hubungan cinta mereka
kerana bimbang akan menimbulkan salah faham peminat.
"Kami berdua lebih selesa untuk tidak mendedahkan kisah percintaan
melebihi daripada kerjaya masing-masing tambahan pula kami sedang
membina tapak dalam industri.
"Jika terlalu mendedahkan tentang kisah-kisah peribadi bimbang ia akan menimbulkan masalah lain kemudian hari," jelasnya.
Dalam pada itu, ditanya mengenai tunggakan pembayaran baki akhir
teater Maduku Kalut yang gagal dilunaskan pihak produksi sebelum ini,
Nad menjelaskan masalah itu telah pun selesai.
Kata Nad, pihak penerbit iaitu Mohd Amer Shafiq Khalip telah
menjelaskan baki pembayaran kepadanya yang tertunggak sehingga
menimbulkan kontroversi.
"Sudah tiada masalah kerana saya telah menyelesaikan tanggungjawab
untuk teater berkenaan dan pihak penerbit sudah membuat pembayaran
kepada saya," ujarnya.
Sementara itu, Nad memberitahu dia sangat merendah diri apabila
tercalon dengan nama-nama besar dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik
Drama ASK 2013 seperti Datin Umie Aida, Nora Danish, Sharifah Amani dan
Sherie Merlis.
Kata Nad, dia berbangga tercalon dalam kategori itu dan sudah menganggap ia sebagai satu kemenangan buatnya sebagai pelakon.
"Soal menang atau kalah bukan isu kerana saya sudah cukup gembira
apabila nama tersenarai dengan semua pelakon-pelakon hebat dalam
kategori sama," katanya.
No comments
Post a Comment