DERA ISMAIL KHAN, Pakistan - Beberapa anggota pejuang pergerakan
Taliban di Pakistan mengebumikan secara rahsia pemimpin mereka,
Hakimullah Mehsud selepas dia mati dibunuh dalam satu serangan dron
milik tentera Amerika Syarikat (AS).
Puak Taliban itu juga berikrar akan melakukan satu siri serangan
pengebom berani mati selepas Hakimullah mati kelmarin di kubu kuat
pergerakan tersebut di Miranshah, barat laut Pakistan.
Kerajaan Pakistan turut mengutuk pembunuhan itu.
Seorang pejuang Taliban berkata, serangan dron itu berlaku semasa
Hakimullah menaiki sebuah kenderaan setelah menghadiri satu mesyuarat
dengan para pemimpin pergerakan tersebut.
Menurutnya, mayat Hakimullah dapat dikenal pasti selepas serangan tersebut berlaku.
Dia berkata, seorang pengawal peribadi dan pemandu Hakimullah turut terbunuh.
Sumber-sumber keselamatan Pakistan menyatakan, beberapa anggota
Taliban mengebumikan ketua mereka secara rahsia pada waktu malam kerana
takut tentera AS akan menghantar dron untuk melakukan serangan di
kawasan pengebumian itu.
"Setiap darah yang mengalir dari tubuh Hakimullah akan diganti dengan
satu serangan pengebom berani mati," kata seorang jurucakap Taliban,
Azam Tariq.
"Amerika dan rakan-rakannya tidak sepatutnya gembira kerana kami akan
melakukan serangan balas untuk darah pejuang syahid kami," tambahnya.
Hakimullah mengambil alih sebagai ketua pergerakan tersebut yang mempunyai kaitan dengan Al-Qaeda pada tahun 2009.
Dua ketua pergerakan itu terbunuh dalam serangan dron milik tentera AS sebelum ini.
Beberapa komander Taliban akan mengundi untuk memilih timbalan Hakimullah, Khan Said sebagai ketua yang baharu.
Khan dipercayai dalang dalam satu serangan ke atas sbeuah penjara di
barat laut Pakistan yang menyebabkan 400 orang banduan dibebaskan pada
tahun 2012 serta serangan terhadap sebuah pangkalan tentera laut
Pakistan. - Reuters
No comments
Post a Comment