Duo dari Sweden, Icona Pop mula dikenali selepas lagu single mereka, "I Love It" dimainkan di corong radio dan juga menduduki tempat teratas dalam carta muzik seluruh dunia.
Membawa lagu berentak electro house dan pop indie, Icona Pop yang dianggotai oleh Caroline Hjelt, 26, dan Aino Jawo, 27, bakal mengadakan persembahan pertama mereka di Malaysia pada 29 November di Club Neverland, Jalan Kia Peng, Kuala Lumpur.
Dalam satu sidang media yang berlangsung di hotel Le Meridien, Kuala Lumpur pada Khamis, Icona Pop berkongsi rasa gembira mereka untuk bertemu peminat di Malaysia.
"Kami berdua suka berparti, menari dan bergembira. Jadi kami berharap peminat akan berseronok dengan persembahan kami dan menjadikan ia sebagai pengalaman yang tidak dapat lupakan," ujar Jawo.
Sementara itu Hjelt turut memberitahu mereka tidak sabar untuk mencuba makanan tempatan.
"Kami tidak sabar untuk mencuba roti canai di sini. Kami suka menikmati makanan di Malaysia."
Icona Pop menerima cenderahati daripada wakil Warner Music Malaysia. |
Dalam perkembangan lain, Icona Pop yang bakal berehat sebentar pada Januari tahun depan akan mengikuti siri jelajah Bangerz Tour bersama Miley Cyrus pada Februari 2014 dan kemudiannya bersama Katy Perry untuk Prismatic World Tour bermula Mei 2014.
Bagi peminat yang masih belum berkesempatan membeli tiket persembahan This Is…. Icona Pop, anda boleh mendapatkan album mereka di mana-mana kedai Speedy dan anda akan menerima dua pas percuma.
Sesi autograf juga akan diadakan selepas persembahan dimana ia akan memberi peluang kepada peminat untuk berinteraksi dengan Icona Pop.
Selain "I Love It", album "This Is… Icona Pop" turut memuatkan lagu-lagu seperti "All Night", "We Got The World", "Hold On", "Light Me Up" dan lain-lain.
Persembahan This Is… Icona Pop dibawakan oleh Warner Music Malaysia.
No comments
Post a Comment