KUALA TERENGGANU – Seorang remaja dihadapkan di Mahkamah Majistret, di sini, semalam, atas pertuduhan membunuh seorang lelaki, dalam satu kejadian gaduh di hadapan kedai makan Ali Baba Corner, Kampung Bukit Parit, Marang, 30 September lalu.
Bagaimanapun, remaja berkenaan yang berusia 17 tahun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman bunuh, jika disabitkan kesalahan.
Berdasarkan pertuduhan, remaja yang berasal dari Kampung Durian Penjara, Marang, didakwa telah membunuh mangsa, Abdul Fariq Manah, 20, di hadapan Kedai Ali Baba Corner, Kampung Bukit Parit, Marang, pada 30 September, lebih kurang antara jam 9 malam dan 9.30 malam.
Sejurus pengakuan tidak bersalah remaja tersebut direkodkan, Majistret Noradila Ab Latiff menetapkan 27 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan lantikan peguam di Mahkamah Majistret Marang.
Sebarang jaminan tidak ditawarkan. Sementara itu di mahkamah sama, remaja tersebut bersama tiga lagi rakannya yang berusia antara 16 hingga 21 tahun turut didakwa telah melakukan gaduh gempur di lokasi dan tarikh serta waktu yang sama.
Bagaimanapun, kesemua mereka mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas pertuduhan di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai sebulan atau denda yang boleh sampai RM200 atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
Noradila menetapkan 27 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan lantikan peguam yang juga akan disebut di Mahkamah Majistret Marang.
Dalam masa sama, dua rakan remaja itu yang berusia 20 dan 21 tahun dibenarkan diikat jamin sebanyak RM3,500 dengan seorang penjamin manakala RM2,500 bagi remaja yang berusia 16 tahun itu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nazlyza Mohamad Nazri.
Sinar Harian 2 Oktober lalu melaporkan gara-gara berebut seorang wanita, sekumpulan lelaki sanggup bergaduh sebelum salah seorang daripada mereka mati ditikam, dalam satu kejadian di hadapan kedai makan Ali Baba Corner, Kampung Bukit Parit, Marang.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, mangsa, Abdul Fariq, dari Kampung Jerong Seberang di sini, disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, kira-kira jam 10.11 malam akibat cedera terkena tikaman di jantung. – Sinar Harian Online
No comments
Post a Comment