SEORANG remaja berusia 21 tahun menjadi wira dalam kejadian kebakaran
Flat Kg Kerinchi hari ini apabila membawa turun seorang warga emas yang
berkerusi roda menuruni tangga dari tingkat 14.
Rumah pangsa setinggi 17 tingkat berkenaan terbakar di tingkat paling
atas dan turut merebak ke tingkat 16 mengkibatkan beberapa keluarga
hilang tempat tinggal.
Shaifuddin Osman, 21 tahun, yang turut mendiami rumah pangsa itu
bergegas naik ke tingkat 14 selepas mendapat tahu ada seorang warga emas
keseorangan di tingkat itu ekoran anak menantunya terlupa untuk menyelamatkannya kerana panik.
Menurut remaja itu, dia bersama dua lagi rakan membantu mengangkat
wanita itu Saodah Che Mat, 74 tahun (Gambar paling bawah), yang lumpuh
akibat serangan angin ahmar enam tahun lalu.
Beliau yang agak emosi kemudian berkata, pihak bomba yang
bertembung dengannya dalam perjalanan turun di dua tingkat berbeza
enggan membantu beliau sebaliknya hanya memerhatikan sahaja mereka
membawa turun warga emas itu.
“Saya dari tingkat 14, sampai di tingkat 12 bomba hanya lihat
sahaja.. kemudian sampai di tingkat lapan.. bomba pun lihat sahaja..
Apabila tiba di tingkat empat barulah anggota bomba ingin membantu.
“Saya berasa sedih sangat, alang-alang dah sampai ke tingkat
empat, kami terus sahaja membawa makcik turun ke bawah,” katanya
berlinangan air mata.
Sementara itu, anak Saodah, Nor Hayati Ismail, 57 tahun pula
berkata beliau menyedari kebakaran berlaku sebaik selesai menunaikan
Solat Fardhu Asar di rumahnya.
“Saya baru selesai Solat Asar, lepas tu dengar bunyi bising..
Ingatkan ada orang nak terjun flat.. rupa-rupanya ada kebakaran.. Makcik
pun terus turun.. tiba-tiba terlupa mak mertua ada di atas tinggal
seorang,” katanya kepada wartawan.
Kebakaran berlaku kira-kira pukul 5.30 petang tadi, melibatkan enam
unit rumah pangsa di tingkat 17 manakala unit di tingkat 16 turut
terlibat.
Rumah Pengerusi Badan Pengurusan Bersama flat itu Zamri Mohamad
Tenang, 58 tahun turut musnah di tingkat 16 dan semua dokumen penting
hangus terbakar.
“Kebakaran dipercayai berlaku akibat penghuni rumah di tingkat 17
memasak di dalam bilik, mereka menduduki rumah itu ramai, jadi masak
dalam bilik,” kata Zamri kepada mynewshub.my.
Tiada kecederaan atau pun mangsa yang terkorban dalam kejadian itu.
Turut hadir meninjau keadaan ialah Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul
Izzah Anwar dan juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Raja
Nong Chik Raja Zainal Abidin. – mynewshub.my
No comments
Post a Comment