KUALA LUMPUR – Jika benar hanya hanya 10
hingga 15 peratus daripada 111,020 kes jenayah indeks yang direkodkan
dari Januari hingga September lalu dilakukan oleh warga asing, ia
menunjukkan bahawa segelintir rakyat Malaysia bersikap agresif, ganas
dan kejam.
Justeru Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS
(DPP) Wilayah Persekutuan, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz menyifatkan
pendedahan oleh seorang pemimpin negara itu bukan sesuatu yang harus
melegakan rakyat negara ini sebaliknya satu fakta yang menggerunkan.
“Dengan jumlah 111,020 kes jenayah
indeks yang direkodkan sepanjang Januari hingga September 2013 ia adalah
angka yang menggerunkan sesiapa sahaja.
“Ia juga bererti rakyat tempatan lebih
agresif, ganas dan kejam berbanding warga asing. Warga tempatan perlu
lebih berhati-hati, gusar dan gerun dengan ‘saudara’ mereka sendiri
kerana penjenayah sebenar majoritinya adalah warga tempatan,” dakwanya
melalui satu kenyataan media hari ini.
Mohamad Suhaimi mendakwa, pendedahan itu
jika benar mungkin membawa makna ada sesuatu yang tidak kena dengan
aspek penguatkuasaan undang-undang negara ini.
Ia kerana terdapat segelintir rakyat
sudah tidak gentar dengan sebarang hukuman atau undang-undang yang
ditetapkan dan mereka rela ditembak mati, diburu atau ditangkap kerana
aksi jenayah mereka.
Justeru, katanya, semua pihak perlu
berganding bahu memberikan pandangan, input dan buah fikiran agar
jenayah dijadikan musuh nombor satu negara.
Kata beliau, langkah itu boleh bermula
daripada sistem pendidikan, penguatkuasaan undang-undang, pencegahan,
kempen kesedaran serta kajian dan perbincangan.
Selain itu, katanya, faktor kesempitan
hidup, penyakit jiwa, kemurungan, kurang pendidikan agama, konflik
keluarga dan pergaulan bebas antara perkara yang perlu diambil kira
dalam usaha menangani jenayah di Malaysia.
“Selain sasaran menjadi negara maju,
negara yang bebas jenayah perlu dijadikan agenda utama. Tidak ada
gunanya negara melangkah era kemodenan penyumbang terbesar kadar
jenayah,” dakwanya lagi. – mynewshub.my
No comments
Post a Comment