NAMA Aiman Hakim Ridza, 24, sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi dalam industri hiburan tanahair.
Mula meningkat naik sewaktu drama bersiri Vanila Coklat yang dilakonkan bersama pelakon Izara Aishah disiarkan di kaca televisyen, dia kini terus melangkah jauh menerajui pelbagai lagi drama bersiri lain.
Terbaru, namanya sedikit tercalar apabila ada suara sumbang di luar sana yang mengaitkannya dengan masalah disiplin ketika bekerja dengan sebuah produksi.
Kecewa dengan tuduhan itu, Aiman memberi penjelasan mengenai perkara itu melalui Harian Metro.
“Selama ini saya tiada masalah bekerja dengan mana-mana produser dan pengarah, apatah lagi lakonan adalah sumber pendapatan.
“Saya sedih apabila ada pihak menuduh saya secara melulu, sepatutnya mereka dengar daripada saya juga apa sebenarnya yang terjadi. Cerita yang disebarkan secara sampai menyampai itu daripada seinci boleh jadi sedepa panjangnya dengan tokok tambah.
“Namun cubalah fikir, adakah logik selepas penggambaran bermula sejak 8 pagi dan selesai jam 6 pagi keesokannya, produksi mahu saya datang semula ke lokasi jam 11 pagi hari yang sama. Saya bukanlah mesin dan perlu berehat. Lokasi pula jauh yang mengambil masa hampir sejam perjalanan dari Kuala Lumpur.
“Jadi kepada mereka di luar sana yang tak tahu apa-apa mengenai kerja produksi, jangan terus menjatuhkan hukuman ke atas saya dan janganlah hentam saya sesuka hati!” tegasnya.
Ada benarnya kata-kata Aiman itu. Iyalah, mana ada manusia yang sempurna. Kalau setakat silap sikit, tak perlulah dicanang dan ditokok-tambah melampau-lampau.
Sabarlah Aiman. Kalau tiada dugaan, tiadalah pengalaman.
No comments
Post a Comment