MALE ATOLL SELATAN (MALDIVES) – Pelakon
dan pengacara Neelofa mahu meninggalkan dunia seni untuk memberi tumpuan
dalam bidang perniagaan dan rumah tangga yang bakal dibinanya sebelum
mencecah usia 30 tahun.
Neelofa atau nama sebenarnya Noor
Neelofa Mohd Noor, 24, berkata, dia tidak percaya bakatnya akan
diperlukan dalam tempoh lima tahun akan datang kerana ketika itu sudah
ada pelakon-pelakon baharu yang lebih menjadi perhatian.
“Terus-terang saya katakan, saya tidak
pernah berhasrat untuk berlakon sampai bila-bila. Insya-Allah, dalam
masa lima tahun ini saya akan kurangkan aktiviti seni dan seterusnya
meninggalkan dunia glamor ini untuk beralih kepada bidang lain apabila
usia saya 30 tahun,” katanya kepada mStar Online.
Neelofa ditemui semasa menyertai
percutian bersama syarikat penerbangan tambang murah AirAsia X selama
lima hari bermula 18 Oktober lalu di Holiday Inn Kandooma di sini.
Selain Neelofa, pengacara Fara Fauzana
turut bersama dalam percutian berkenaan bagi merasai perjalanan laluan
terbaharu syarikat penerbangan itu selain melihat keindahan pulau
terbabit.
Neelofa berkata, dia tidak menyesal
membuat keputusan berkenaan memandangkan ketika ini semakin ramai artis
baharu muncul dan tentunya pada masa depan, pelakon lain lebih menonjol
sebagaimana yang dialami pelakon senior lain ketika ini.
Ujarnya, sebagai permulaan dia mula
berjinak-jinak dalam bidang perniagaan termasuklah memperkenalkan produk
penjagaan kesihatannya iaitu Bellavita.
Pengacara rancangan Nona dan Meletop ini turut membayangkan akan mendirikan rumah tangga pada usia 29 tahun.
“Saya merancang selewat-lewatnya pada
usia 29 tahun saya akan berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri. Pada
waktu itu tumpuan saya adalah dalam perniagaan dan bukan lagi lakonan,”
jelasnya sambil memberitahu buat masa ini masih belum mempunyai teman
istimewa.
Dalam perkembangan lain Neelofa berkata
dia sudah mendapat surat tawaran untuk mengikuti kursus jangka pendek di
New York Film Academy, di Los Angeles, Amerika Syarikat.
Neelofa akan mengambil kursus dalam bidang lakonan selama sebulan bermula 6 Januari 2014.
“Saya sudah bersedia untuk meneroka
bidang seni dengan mengikuti kursus jangka pendek di Amerika Syarikat.
Ketika itu saya sedang cuti semester di kolej saya sekarang. Jadi, mudah
untuk saya untuk menyambung pelajaran,” katanya yang ketika ini
merupakan pelajar Kolej Universiti Sunway, Petaling Jaya, peringkat
ijazah sarjana muda pemasaran dan perdagangan antarabangsa. - mStar Online
No comments
Post a Comment